Faizal Tahir dedah doktor pernah nasihat isteri gugurkan kandungan anak bongsu

Faizal Tahir ketika berucap dalam sesi bual bicara bertajuk ‘Anak Syurga Luar Biasa’ program Ziarah Ramadan pada Khamis.
Faizal Tahir ketika berucap dalam sesi bual bicara bertajuk ‘Anak Syurga Luar Biasa’ program Ziarah Ramadan pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyanyi terkenal, Faizal Tahir mendedahkan bahawa seorang doktor pakar pernah menasihatkan supaya isterinya menggugurkan kandungan anak bongsu mereka, Maryam Tahirah, 2, hanya kerana disahkan menghidap penyakit sindrom Down.

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir berkata, doktor bukan beragama Islam itu pernah bertanyakan sama ada mahu meneruskannya seperti biasa sehingga prosedur bersalin atau sebaliknya.

“Saya ingatkan tersalah dengar, saya tak percaya dengan apa yang saya dengar itu kerana macam mana dia boleh ada pemikiran sebegini?

“Sewaktu itulah terdetik di fikiran, Alhamdulillah ALLAH SWT kurniakan agama kepada saya dan tidak ada perkara sebegitu dalam Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman dalam sesi bual bicara bertajuk ‘Anak Syurga Luar Biasa’ program Ziarah Ramadan anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama rakan media Sinar Harian dan Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MyCP) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Mohammed Hassan; Pengerusi MyCP, Dr Nurulhuda Abdul Rahman; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin serta ibu bapa penerima sumbangan daripada Bikeisable.

Bagaimanapun, bapa kepada tujuh cahaya mata terbabit meluahkan rasa syukur tidak terhingga kerana berfikir bahawa umat Islam diajar untuk berbuat demikian dalam apa jua keadaan dan sentiasa ingat hanya ALLAH SWT yang mengetahui hikmah di sebalik berlakunya sesuatu perkara.

“Saya juga pernah lalui cabaran dari segi emosi atau jiwa kacau yang mana saya terfikir tak sanggup kalau saya mati dulu, anak (sindrom Down) membesar tanpa penjagaan seorang ayah.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi, saya pula taknak kalau anak mati dulu, bapa mana yang sanggup kebumikan anak?

“Jadi, ubatnya al-Quran, berserah sahaja kepada ALLAH SWT dan percaya kepada-Nya kerana Dia perancang terbaik,” ujar pelantun lagu Sejati tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar ibu bapa, masyarakat dan media arus perdana terus memainkan peranan dalam usaha menyantuni komuniti orang kurang upaya (OKU) menerusi perkongsian pengalaman serta ilmu di media sosial.

“Golongan sebegini bukanlah OKU tetapi ‘orang luar biasa upaya’ kerana kita sendiri sebagai orang biasa tak mampu menjadi seperti mereka,” jelasnya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28