Mahkamah arah SPRM kemuka kenyataan bertulis fakta berhubung 4 pertuduhan rasuah

Choo Thiam (tengah) berdepan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri. Foto Bernama
Choo Thiam (tengah) berdepan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri. Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan semakan oleh seorang pengarah syarikat untuk meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan kenyataan bertulis baharu mengenai fakta-fakta yang memihak kepada pembelaannya berhubung empat pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Datuk Seri Sim Choo Thiam, 54, menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Menurut Choo Thiam, fakta yang memihak kepada pihak pembelaan ialah beliau (Choo Thiam) didakwa di mahkamah sebelum SPRM merekodkan kenyataan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang namanya disebut dalam pertuduhan.

Selain itu, Choo Thiam juga mendakwa bahawa kenyataan amarannya yang direkodkan oleh SPRM pada 16 dan 28 Februari tahun lepas tidak menyokong pertuduhan rasuah terhadapnya.

Hakim, K Muniandy dalam penghakimannya mengarahkan agensi antirasuah berkenaan memberikan kenyataan itu selepas mendapati terdapat fakta yang memihak tertuduh yang perlu didedahkan oleh pihak pendakwaan kepada tertuduh sebelum perbicaraan, yang menyediakan pendedahan pra-perbicaraan supaya tertuduh mempunyai kekuatan yang sama dengan pihak pendakwaan dalam perbicaraan.

"Fakta yang memihak itu sama sekali tidak menjejaskan budi bicara pendakwaan oleh pendakwa raya dan tidak melarang kuasa penyiasatan SPRM. Kuasa penyiasatan SPRM tidak terhad sehingga perbicaraan selesai, kerana mungkin terdapat keadaan tidak dijangka yang memerlukan dan mengesahkan siasatan tambahan.

"Sehubungan itu tertuduh telah mengalami ketidakadilan di sisi undang-undang, yang sepatutnya diperbetulkan oleh mahkamah ini yang menjalankan bidang kuasa penyeliaannya, iaitu mematuhi dan memastikan undang-undang seperti dalam seksyen 51A (1)(c) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) diguna pakai dengan betul,” katanya.

Dengan itu mahkamah membenarkan permohonan semakan oleh tertuduh dan responden (SPRM) diberikan tempoh 14 hari untuk mematuhi perintah itu.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Low Wei Loke dan Kee Wei Lon manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad, Rasyidah Murni Adzmi dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.
Artikel Berkaitan:


Pada 4 Julai 2023, Sim memfailkan permohonan semakan di bawah Seksyen 51A CPC untuk pihak pendakwaan memberikan kenyataan bertulis baharu mengenai fakta yang memihak kepada pembelaannya selepas hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob pada 27 September menolak permohonan Choo Thiam untuk mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan kenyataan fakta bertulis yang baharu itu.

Perbicaraan kes itu ditetapkan selama 10 hari dari 6 hingga 10 Mei dan 13 hingga 17 Mei 2024, dan pihak pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan.

Pada 10 Mei 2023, Sim didakwa meminta rasuah RM15 juta daripada Hep Kim Hong, pengarah urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad sebagai dorongan kepada Hamzah untuk menganugerahkan projek kepada syarikat berkenaan.

Dia juga didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM15 juta daripada individu sama sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua lokasi berbeza - pejabat Shaas Holdings dan tempat letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun dan Julai 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika disabit kesalahan.