[VIDEO] Kes pegawai polis sebabkan kematian pelajar dipindah ke Mahkamah Tinggi

A
A
A

IPOH - Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis memindahkan kes pegawai kanan polis didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang pelajar lelaki, Disember lalu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Majistret S Punitha memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz untuk kes terhadap Mohd Nazri Abdul Razak, 45.

Permohonan memindahkan kes dilakukan mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun tarikh bagi sebutan kes di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Selain Afzainizam, pendakwaan turut dikendalikan Saiful Akmal Mod Said dan Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili peguam, Cindy Wong Xin Tian.

Turut hadir, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Zamri Idrus.

Mohd Nazri diiringi polis masuk ke kamar mahkamah.
Mohd Nazri diiringi polis masuk ke kamar mahkamah.

Terdahulu, tertuduh masuk ke kamar mahkamah jam 9 pagi memakai pakaian lengan panjang dengan penutup kepala dan memakai pelitup muka berwarna hitam dalam keadaan tangan bergari serta diiringi polis.

Artikel Berkaitan:

Ahli keluarga mangsa iaitu abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 30, dan bapa saudara, Abdul Razak Judin, 49, turut hadir bagi mengikuti prosiding mahkamah.

Pada 18 Disember 2023, tertuduh, Mohd Nazri yang bertugas sebagai Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kedah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 12.05 hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mohd Nazri dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis untuk sebutan semula kes.
Mohd Nazri dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, Muhammad Zaharif Affendi yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu melibatkan kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai terbabit dengan motosikal jenis Yamaha ditunggangi mangsa.

Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana membuat bising menggunakan motosikal.

Laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.

@sinarharianonline

Kes pegawai polis sebabkan kematian pelajar dipindah ke Mahkamah Tinggi #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Kes #Jenayah #Polis #Pelajar #Kematian #Mahkamah

Supplication - Sami Yusuf