X

Kindly register in order to view this article
!

Teguran Hussamuddin bawa mesej besar

Keratan Sinar Harian semalam.
A
A

KOTA BHARU - Semua pihak tanpa mengira fahaman agama dan agenda politik perlu menilai pandangan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dengan jiwa terbuka tanpa melihat agenda tertentu.

Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Dr Johari Yap berkata, beliau menyokong kenyataan Hussamuddin supaya isu perkauman dan agama tidak dimainkan mana-mana pihak kerana tindakan itu akan menyemai kebencian yang boleh menghancurkan negara.

“Saya lihat akhir-akhir ini, semakin banyak kenyataan tidak sihat yang boleh membakar api perkauman dikeluarkan pihak mempunyai kepentingan sendiri.

“Isu tanglung pun boleh jadi isu politik sampaikan mendapat perhatian sehinggakan tujuh orang menteri. Sedangkan apabila Dr Maszlee Malik dihentam kiri dan kanan dari setiap penjuru berkenaan isu jawi, tiada pula sokongan beramai-ramai daripada menteri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas gesaan Hussamuddin terhadap kerajaan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia pelbagai kaum agar tidak memainkan isu perkauman serta agama seperti berlaku sejak 20 bulan lalu kerana tindakan itu boleh menyemai kebencian yang akan menghancurkan negara

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Hubungan kaum, agama semakin parah di Malaysia

Menurutnya, beliau sendiri sebagai orang Cina tidak menentang tanglung, malah turut menggantungnya di pekarangan rumah sempena Tahun Baru Cina nanti.

“Pun begitu, saya juga orang Islam dan sebagai seorang warganegara Malaysia saya menyokong penuh pengajaran jawi di sekolah. Saya tidak faham mengapa masih ada pihak yang menentang kerana tulisan jawi sememangnya sebahagian daripada bahasa Melayu.

“Ia hanya melibatkan tiga muka surat dalam buku teks dan tidak melibatkan apa-apa ujian atau peperiksaan pun. Lagi pula, kemahiran membaca dan menulis jawi akan menjadi nilai tambah murid berkenaan,” katanya.

Katanya, mujur ada sokongan daripada Naib Presiden PKR, Tian Chua yang cuba menenangkan semua pihak berhubung isu tulisan jawi.

“Pembelajaran tulisan jawi tidak akan menjejaskan budaya Cina atau Tamil tetapi sokongan kepada isu jawi tidak pula sehebat seperti sokongan kepada isu tanglung,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya isu-isu kecil terus dimainkan pihak tidak bertanggungjawab, maka negara akan menerima natijah dan rakyat yang sengsara.

"Jangan lupakan isu kecurian telefon di Plaza Low Yat pada tahun 2015 telah dijadikan isu perkauman dan hampir terjadi pergaduhan besar jika tidak dibendung polis.

“Kini, setiap insiden yang berlaku, jika melibatkan dua kaum berbeza akan dilihat sebagai isu perkauman. Jika Ahmad memandu kereta dan melanggar Ali, maka itu adalah kemalangan biasa meskipun menyebabkan kematian.

“Akan tetapi jika Ah Chong melanggar Ali, kemungkinan besar boleh menjadi isu perkauman jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memanipulasikan keadaan dan cerita. Ini sememangnya tidak sihat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saifuddin Abdullah sokong kenyataan Hussamuddin

Henti main isu polarisasi perkauman, politik berlebihan

Hiasan tanglung tak ancam keselamatan: Wan Azizah

Buang kebencian, kembalikan keharmonian sejagat


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus