Hiasan tanglung tak ancam keselamatan: Wan Azizah

Wan Azizah menurunkan tandatangan pada tanglung yang menjadi hiasan di SMK Pusat Bandar Puchong 1, Pusat Bandar Puchong.
Wan Azizah menurunkan tandatangan pada tanglung yang menjadi hiasan di SMK Pusat Bandar Puchong 1, Pusat Bandar Puchong.
A
A
A

PUCHONG - Hiasan perayaan yang tidak melibatkan hal keselamatan tidak sepatutnya dijadikan isu yang boleh menjejaskan budaya majmuk negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, dekorasi hiasan sambutan Tahun Baru Cina seperti tanglung adalah perkara biasa yang diamalkan sebagai tradisi masyarakat Cina.

"Jangan jadikan ia isu yang boleh pecah belah keharmonian. Kita ada banyak persamaan.

“Selama kita merdeka tidak pernah jadi isu tentang tanglung. Kalau atas dasar keselamatan, kita boleh pertimbang tetapi kalau sudah jadi tradisi, ia tidak jadi masalah," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, Pusat Bandar Puchong di sini hari ini.

Lawatan beliau itu susulan isu hiasan sambutan Tahun Baru Cina di sekolah berkenaan yang didakwa bersifat keagamaan.

Nie Ching bersama pelajar SMK Pusat Bandar Puchong 1, Pusat Bandar Puchong dan hiasan tanglung yang menjadi isu.
Nie Ching bersama pelajar SMK Pusat Bandar Puchong 1, Pusat Bandar Puchong dan hiasan tanglung yang menjadi isu.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, jemaah menteri sebulat suara menyokong semangat perpaduan yang diamalkan oleh pihak sekolah dalam perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nie Ching berkata, amalan menghias sempena sambutan perayaan negara di sekolah berkenaan adalah amalan tradisi sejak 10 tahun lalu.

"Jadi, kita pun rasa hairan kenapa secara tiba-tiba tahun ini ia menjadi isu walaupun tahun lalu hiasan yang sama telah dibuat dan mungkin lebih besar tetapi ia tak jadi isu.

"KPM (Kementerian Pendidikan) akan menyokong pihak sekolah untuk memupuk perpaduan. Sekolah adalah tempat yang terbaik untuk belajar pelbagai perayaan, budaya dan sebagainya," katanya.

Guan Eng turut menyatakan pendirian sama dan senada dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyifatkan dekorasi tersebut sama sekali tidak bertentangan dengan undang-undang.

"Ia hanya untuk pelajar merasai suasana sambutan perayaan. Kenyataan Ketua Polis Negara telah bantu meredakan keadaan,” katanya.