Mat rempit tak sempat ke kedai makan

Tiga daripada lima penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis.
Tiga daripada lima penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Perjalanan sekumpulan penunggang motosikal yang berkonvoi ke kedai makan di Senawang, di sini terbantut, apabila ditahan polis selepas dikesan melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman.

Menurutnya, tangkapan dibuat jam 12.25 tengah malam selepas lima penunggang motosikal terbabit dikesan melakukan aksi 'superman' dan bersaing sesama sendiri.

Dua daripada lima penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis.
Dua daripada lima penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis.

"Soal siasat awal mendapati kesemua lelaki berusia 18 hingga 35 tahun itu merupakan kenalan rapat yang menetap di sekitar Rawang, Selangor.

"Mereka melakukan aksi semasa dalam perjalanan ke kedai makan terletak di bandar Senawang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, polis turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, tiada nombor pendataran, tiada cermin sisi, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai ekzos.

Katanya, polis telah menyita kesemua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua tangkapan dan sitaan dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Tambah Mohd Azman, JSPT mengingatkan penunggang motosikal supaya memastikan undang-undang serta peraturan lalu lintas dipatuhi dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti samseng jalanan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28