Pemandu kereta tular langgar penunggang motosikal ditahan

Rakaman video suspek yang tular di media sosial.
Rakaman video suspek yang tular di media sosial.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menahan seorang pemandu kereta yang melanggar penunggang motosikal di sebuah stesen minyak seperti video tular di media sosial, pada petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan di sekitar Tasek Gelugor, di sini kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang cat kereta mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk tujuh kesalahan dadah.

“Suspek ditahan selepas mangsa tampil membuat laporan, sejurus kejadian dia dilanggar lelaki terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, tular video berdurasi 27 saat yang memaparkan seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback melanggar penunggang motosikal sebanyak dua kali sebelum beredar.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati disebabkan penunggang motosikal terbabit menegur pemandu berkenaan yang memotong tanpa memberi isyarat.

Artikel Berkaitan: