Sekolah daif: PAC beri KPM tempoh dua bulan beri maklum balas

Mas Ermieyati (tengah) bersama ahli-ahli jawatankuasa PAC ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Mas Ermieyati (tengah) bersama ahli-ahli jawatankuasa PAC ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberi tempoh dua bulan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi maklum balas terhadap empat syor melibatkan pengurusan naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, hasil prosiding yang dijalankan pada 17 Januari lalu mendapati, terdapat bangunan lama dikenal pasti dan disyor tidak sesuai untuk digunakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), namun tidak diambil tindakan penambahbaikan.

“Sebagai contoh, ada bangunan yang telah 12 tahun mendapat syor untuk dibaik pulih, tetapi tiada tindakan diambil.

“PAC dimaklumkan hal ini terjadi kerana kekangan kewangan yang menyebabkan KPM terpaksa memilih sekolah-sekolah yang perlu diutamakan berdasarkan keadaan atau kerosakan lebih kritikal,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Dalam pada itu Mas Ermieyati memaklumkan, PAC turut mendapati kelewatan memproses permohonan projek sekolah daif oleh KPM menyebabkan berlakunya Notis Perubahan yang menyebabkan kerosakan sedia ada menjadi lebih teruk.

Selain itu katanya, kerosakan itu turut ditambah dengan keperluan baharu bagi mengikut perkembangan terkini.

Justeru beliau menegaskan, PAC telah menggesa kementerian itu melaksanakan perancangan dan mengambil tindakan proaktif bagi memastikan sekolah-sekolah di Malaysia berada dalam keadaan selamat serta kondusif.

“Ini termasuk melancarkan Program Sifar Bangunan Sekolah Daif seluruh negara selaras dengan komitmen kementerian untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Artikel Berkaitan:

“KPM perlu memantapkan kaedah pengurusan projek melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian secara berterusan bagi memastikan semua projek yang dirancang siap mengikut jadual,” ujarnya.