Sindiket judi dalam talian rekrut graduan lulusan sains komputer

Antara komputer riba dan telefon bimbit yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah premis di Subang Jaya pada Isnin.
Antara komputer riba dan telefon bimbit yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah premis di Subang Jaya pada Isnin.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis membongkar kegiatan sindiket judi dalam talian yang merekrut graduan berkelulusan sains komputer untuk menghasilkan platform perjudian menerusi serbuan di sebuah pusat beli-belah di Sky Park, di sini pada Isnin.

Serbuan Op Dadu Calling Centre dilakukan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dibuat kira-kira jam 3.15 petang hasil risikan kira-kira dua minggu itu berjaya menahan seramai 84 individu membabitkan 62 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun.

"Semakan mendapati seorang daripada suspek ialah warga Thailand.

"Siasatan polis mendapati suspek terbabit memiliki kelulusan sains komputer dan digajikan sekitar RM5,000 hingga RM20,000 oleh sindiket bagi membangunkan perisian platform perjudian seperti apexplay, play168, 168KJW dan betace untuk pasaran di Thailand, Brazil, China dan Vietnam," katanya dalam sidang akhbar di IPD Subang Jaya pada Khamis.

Hussein (dua dari kanan) menunjukkan antara komputer riba yang dirampas dalam serbuan sebuah premis di pusat beli-belah di Subang Jaya pada Isnin.
Hussein (dua dari kanan) menunjukkan antara komputer riba yang dirampas dalam serbuan sebuah premis di pusat beli-belah di Subang Jaya pada Isnin.

Kata Hussein, polis telah merampas 105 telefon bimbit, 94 komputer riba, enam kenderaan mewah serta wang tunai RM15,849.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif kira-kira tiga tahun lalu dan berpindah-randah ke lokasi lain bagi elak dikesan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, polis juga mendapati sindiket mempunyai syarikat sah dalam bidang teknologi maklumat.

"Kita percaya pekerja terbabit mengetahui penglibatan mereka dan semakan juga mendapati ada antara suspek pernah ditahan sebelum ini," katanya.

Tegasnya, dalang terlibat telah dikenal pasti dan sedang dalam tindakan pihak polis

"Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga Jumaat untuk siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28