Sindiket judi online masuk 'perangkap' JIM

Ruslin menunjukkan antara rampasan barang susulan tumpasnya sindiket judi online di ibu negara. - FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ruslin menunjukkan antara rampasan barang susulan tumpasnya sindiket judi online di ibu negara. - FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan sindiket yang menjadikan premis perniagaan di Jalan Kerinchi dekat sini sebagai markas sindiket perjudian dalam talian dibongkar menerusi serbuan pada Selasa.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi sepasukan anggota dan pegawai JIM Kuala Lumpur kira-kira jam 11 malam itu berjaya menahan 14 lelaki warga China berusia 23 hingga 39 tahun.

Jelasnya, turut ditahan tiga lelaki tempatan berusia 24 hingga 39 tahun yang berperanan sebagai khidmat pelanggan di premis terbabit.

"Kita telah merampas sejumlah 16 unit komputer riba, skrin komputer (10), telefon bimbit (45), tablet (2) dan beberapa peralatan komputer serta bil utiliti premis.

"Siasatan awal mendapati kegiatan ini beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 10 malam selain dipercayai menyasarkan 'pemain' dari negara Brazil," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JIM Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Antara warga China yang diberkas JIM Kuala Lumpur menerusi operasi di ibu negara pada Selasa.
Antara warga China yang diberkas JIM Kuala Lumpur menerusi operasi di ibu negara pada Selasa.

Beliau berkata, semasa serbuan dilaksanakan, kesemua mereka yang sedang menjalankan operasi perjudian enggan memberikan kerjasama sehingga pasukan operasi perlu membuka pintu premis secara paksa.

Jelasnya, pemeriksaan mendapati tiada dokumen pengenalan mahu pun pasport pada warga asing terbabit dipercayai dipegang oleh majikan atau pihak sindiket.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan termasuk tindakan forensik masih dijalankan untuk mengenal pasti modus operandi sindiket selain sasaran mereka," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.