Guru antara dua didakwa perdagang wanita

Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu untuk pertuduhan memperdagangkan seorang wanita pada 11 Mac lalu.
Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu untuk pertuduhan memperdagangkan seorang wanita pada 11 Mac lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang guru antara dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 4 di sini pada Khamis atas dakwaan memperdagangkan seorang wanita di sebuah kondominium di Kuala Terengganu pada 11 Mac lalu.

Tertuduh, Mohd Hasfyanizam Mansor, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim, Nazlyza Mohamad Nazri.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama telah memperdagangkan seorang wanita berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks dengan cara penyalahgunaan kedudukan orang yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kondominium berkenaan kira-kira jam 2.35 pagi.

Mohd Hasfyanizam (tiga dari kanan) dan Mohamad Fazley (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dakwaan memperdagangkan seorang wanita pada 11 Mac lalu.
Mohd Hasfyanizam (tiga dari kanan) dan Mohamad Fazley (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dakwaan memperdagangkan seorang wanita pada 11 Mac lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda.

Mahkamah menetapkan 31 Mac depan bagi sebutan semula kes tersebut di Mahkamah Sesyen 3 di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Mohamad Fazley Jaafar, 29, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di mahkamah yang sama.

Tertuduh yang bekerja sendiri didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

Mahkamah kemudian memutuskan 31 Mac depan untuk fakta dan hukuman terhadap Mohamad Fazley serta tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan kes itu dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris dan Iffah Nabihah Mohd Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.