Waspada produk kurma dari negara haram Israel

Masyarakat Islam mahu pun individu yang menyokong hak asasi manusia disaran berhati-hati untuk tidak membeli produk tersebut kerana Israel terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai warga Palestin di Gaza selain penindasan berterusan rakyat Palestin di Tebing Barat. Gambar hiasan Bernama
Masyarakat Islam mahu pun individu yang menyokong hak asasi manusia disaran berhati-hati untuk tidak membeli produk tersebut kerana Israel terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai warga Palestin di Gaza selain penindasan berterusan rakyat Palestin di Tebing Barat. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KURMA medjool adalah antara jenis kurma yang paling mahal kerana ia sukar untuk ditanam, bersaiz besar dan mempunyai rasa yang manis seakan rasa karamel.

Disebabkan itu, ia juga terkenal dengan gelaran ‘kurma berlian’. Buah ini juga sentiasa kelihatan segar walaupun kering. Kulitnya berwarna kuning gelap hingga merah kecoklatan dengan tekstur yang berserabut.

Namun, tahukah anda, menurut laporan World Integrated Trade Solution (WITS) pada 2021, negara haram Israel mengatasi Arab Saudi sebagai pengeksport kurma terbesar dunia?

Menurut data Statista pula, pada 2022 Israel mengatasi Tunisia sebagai pengeksport terbesar kurma global dengan pulangan keuntungan besar berjumlah AS$330 juta (RM1.56 bilion).

Maka, tidak menghairankan lambakan kurma Yahudi ini menembusi pasaran Eropah termasuk di Asia.

Misalnya pada tahun 2020 sahaja, United Kingdom (UK) mengimport lebih 3,000 tan kurma dari Israel bernilai AS$8.9 juta (RM42.1 juta).

Di Malaysia, 'pendaratan' kurma buatan Israel ini dikesan minggu lalu hasil pendedahan Berita AlHijrah yang mendapati produk kurma Zionis diletakkan dalam peti ais sebuah premis di Lembah Klang.

Biar pun rampasan telah dibuat, namun produk Israel itu dipercayai telah bertebaran di Malaysia kerana ia turut dijual menerusi atas talian.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, masyarakat Islam mahu pun individu yang menyokong hak asasi manusia disaran berhati-hati untuk tidak membeli produk tersebut kerana Israel terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai warga Palestin di Gaza selain penindasan berterusan rakyat Palestin di Tebing Barat.

Berdasarkan laporan Palestine Campaign, sekitar 60 peratus kurma produk Israel ditanam di kawasan larangan atau tanah Palestin yang diceroboh.

Tambah laporan itu, antara syarikat pengeksport kurma Israel adalah Hadiklaim, Mehadrin, Agrexco, Arava, Edom dan MTex.

Justeru, pihak penguat kuasa diminta melakukan semakan terhadap produk kurma yang berada di pasaran ketika ini.

Selain itu, masyarakat juga perlu lebih peka dan memainkan peranan sebagai pengguna yang bijak dengan menyemak negara pengeluar selain kandungan dan sijil halal.

Dengan cara tidak membeli kurma Israel, masyarakat Islam boleh menghantar mesej jelas mengecam pendudukan haram Israel di Palestin.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28