Ekuinoks tidak beri kesan signifikan kepada cuaca Malaysia - MetMalaysia

Cuaca panas Malaysia selalu dikaitkan dengan ekuinoks sebab kebetulan waktunya sama. Gambar hiasan 123RF
Cuaca panas Malaysia selalu dikaitkan dengan ekuinoks sebab kebetulan waktunya sama. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejadian ekuinoks yang berlaku pada hari ini tidak memberi kesan signifikan kepada cuaca di Malaysia, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Beliau berkata, ini kerana negara yang berdekatan dengan garisan Khatulistiwa seperti Malaysia sudah secara lazimnya mengalami kitaran siang dan malam yang sama panjang secara konsisten sepanjang tahun.

Menurutnya, berbeza dengan negara berada di hemisfera utara atau selatan yang mengalami perubahan tempoh pancaran matahari ketika kejadian ekuinoks yang berlaku dua kali setiap tahun iaitu pada 20 Mac dan 22 September.

"Cuaca panas Malaysia selalu dikaitkan dengan ekuinoks sebab kebetulan waktunya sama.

"Sebenarnya, bagi negara tropika yang berada di sekitar garisan Khatulistiwa impaknya tidak begitu signifikan dan kalau ikut kajian perbezaan suhu ketika ekuinoks hanyalah 0.1 hingga 0.2 peratus,” katanya kepada pemberita dalam satu temu bual secara dalam talian pada Rabu.

Ekuinoks adalah fenomena yang berlaku apabila matahari berada tegak di atas garisan Khatulistiwa menyebabkan seluruh dunia mengalami masa siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam.

Mengulas mengenai cuaca panas yang melanda Malaysia pada ketika ini, Mohd Hisham berkata, ia disebabkan kelembapan udara yang rendah, fenonema El-Nino serta pemanasan global.

"Udara kering kerana kita berada dalam fasa penghujung Monsun Timur Laut (MTL) iaitu keadaan cuaca kita berubah.

Artikel Berkaitan:

"Sistem cuaca lembab berada di selatan negara kita seperti di Indonesia, manakala negara kita agak kering hingga kurang mendapat hujan dan berlaku cuaca panas,” katanya.

Mohd Hisham memberi amaran bahawa trend suhu harian maksimum di beberapa kawasan di utara Semenanjung dan Sabah menunjukkan peningkatan yang berkemungkinan menyebabkan berlaku gelombang haba ekstrem dengan bacaan suhu mencecah 40 darjah Celsius.

"Suhu kita memang tidak boleh dinafikan makin meningkat. Risiko cuaca kita cecah 40 darjah Celsius tinggi dalam dua hingga tiga minggu ini,” katanya menambah bahawa cuaca panas di Malaysia dijangka tamat pada Mei, namun mungkin berlarutan hingga Jun.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa sekolah di sekitar ibu negara mendapati kebanyakan pelajar sekolah rendah dan menengah memakai pakaian sukan sewaktu hadir ke sekolah dan tiada sebarang aktiviti di padang atau luar kelas susulan cuaca panas ketika ini.

Seorang bapa Izhan Safwan Pauzi, 38, berkata, kedua-dua anaknya yang berusia tujuh dan 10 tahun memakai baju sukan setiap hari ke sekolah dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) selepas dimaklumkan guru kelas mengenai kebenaran memakai pakaian sukan pada musim panas ketika ini.

"Guru memaklumkan pemakaian pakaian sukan menerusi kumpulan WhatsApp dan mereka (guru) turut memberitahu ibu bapa aktiviti yang akan dilakukan setiap hari bagi memberi kemudahan kepada kami (ibu bapa) mempersiapkan keperluan anak-anak,” katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Polis Depot di sini hari ini.

Sementara itu Masniza Karia, 41 berkata, keadaan cuaca panas sekarang agak mencabar dan berlaku pada bulan puasa, justeru beliau sentiasa memastikan anaknya yang berusia 12 tahun minum air secukupnya ketika bersahur dan berbuka bagi mengelakkan mereka mengalami dehidrasi.

Menurutnya, selain memastikan seorang lagi anaknya yang berumur tujuh tahun minum air secukupnya, beliau turut membekalkan payung kepada mereka supaya dapat mengurangkan kesan panas terik ketika balik dari sekolah yang terletak berhampiran rumahnya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28