Aktiviti perlombongan haram dikesan di Kampung Sungai Lek

Gambar yang dikongsi oleh penduduk kepada Tuan Ibrahim.
Gambar yang dikongsi oleh penduduk kepada Tuan Ibrahim.
A
A
A

LIPIS - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa tindakan tegas diambil terhadap aktiviti perlombangan yang dibercayai dilakukan secara haram di Kampung Sungai Lek di sini.

Menurutnya, lombong itu sudah lama ditutup dan perlombongan telah dihentikan, namun aktiviti melombong masih terus dijalankan.

"Hasil daripada tinjauan yang dibuat oleh pegawai saya, aktiviti dilakukan pada waktu malam oleh sekumpulan pekerja terdiri warganegara dan rakyat asing.

"Aktiviti dilaksanakan waktu malam dan penduduk mengadu gangguan lalu lintas, lori yang keluar masuk serta pencemaran sungai berdekatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Dakwanya, mereka yang terlibat dilihat melepaskan pencemaran terus ke sungai utama.

Hasil tinjauan yang dilakukan oleh pegawai Tuan Ibrahim di kawasan terbabit pada waktu malam.
Hasil tinjauan yang dilakukan oleh pegawai Tuan Ibrahim di kawasan terbabit pada waktu malam.

"Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk memanjangkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan satu surat aduan telah dihantar Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk diambil perhatian dan tindakan pihak berkuasa.

"Satu salinan surat juga telah dihantar kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui Setiausaha Sulit Kanan beliau dan Pengarah JAS Pahang," kata Timbalan Presiden Pas itu.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, lawatan ke lombong berkenaan telah dilakukan pada hujung tahun lalu dan aktiviti yang dibenarkan hanya menghabiskan stok sedia ada.

Dalam pada itu, beliau amat berharap tindakan tegas daripada pihak berkuasa untuk menangani aktiviti tersebut.

Jelasnya, ia selaras dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti perlombongan haram di negeri tersebut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28