Di sebalik isu gaji, Radhi positif persiapan KDA FC

Pasukan KDA FC meneruskan persiapan pada pra musim 2024-2025 di Stadium Mini, Jitra, Kedah pada malam Selasa. FOTO KDA FC
Pasukan KDA FC meneruskan persiapan pada pra musim 2024-2025 di Stadium Mini, Jitra, Kedah pada malam Selasa. FOTO KDA FC
A
A
A

PROSES pembentukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilihat berjalan lancar dan kehadiran semula beberapa pemain berpengalaman ke dalam pasukan tersebut memberikan petanda positif buat pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super 2024-2025.

Legenda bola sepak Kedah, Muhamad Radhi Mat Din percaya kemasukan Syafiq Ahmad yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kepulangan semula Rizal Ghazali dari Sabah FC mampu memberikan nilai tambah kepada kekuatan Sang Kenari.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu juga mengakui perkembangan itu juga pastinya memberikan kelegaan kepada penyokong setia yang sebelum ini tidak sabar menanti apa yang bakal dilakukan oleh KDA FC selepas terpalit dengan isu tunggakan gaji.

Muhamad Radhi Mat Din
Muhamad Radhi Mat Din

“Saya nampak pasukan sudah bersedia dan sesuatu yang positif adalah apabila pasukan sudah memulakan latihan.

"Pada masa sama, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih mengharapkan Kedah kekal bersaing dalam Liga Super pada tahun ini kerana kita tahu Kedah adalah pasukan yang boleh memeriahkan lagi suasana bola sepak di negara ini," katanya mengulas persiapan Sang Kenari musim ini.

Beliau yang juga Exco Belia dan Sukan negeri Kedah berkata, semua penyokong Kedah diharapkan akan terus setia berdiri di belakang pasukan dengan memenuhi Stadium Darul Aman pada setiap perlawanan musim ini.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, dua pasukan yang sebelum ini berdepan kemelut tunggakan gaji iaitu Kuala Lumpur (KL) City dan KDA FC akan kekal beraksi dalam saingan Liga Super 2024-2025.

Artikel Berkaitan:

Ia selepas Badan bebas First Instance Body (FIB) menjelaskan kedua-dua pasukan itu memberikan komitmen tinggi untuk menyelesaikan masalah gaji tersebut walaupun gagal membuat bayaran 50 peratus jumlah tunggakan bagi tahun 2023 selepas tarikh pertama 15 Mac lalu.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, kedua-dua kelab itu akan dikenakan pemotongan mata dan denda sekiranya gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua 30 Mac ini.