Hatta Sanuri gagal dapat kebenaran merayu tuntutan Batu Puteh

Istana Kehakiman Putrajaya. Gambar hiasan.
Istana Kehakiman Putrajaya. Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu menolak permohonan Mohd Hatta Sanuri untuk mendapat kebenaran merayu bagi mengembalikan semula samannya berhubung penarikan balik permohonan semakan oleh kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membabitkan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dalam keputusan sebulat suara mendapati permohonan oleh pemohon (Mohd Hatta) tidak mempunyai merit dan gagal memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Persoalan (undang-undang) berhubung locus standi (hak di sisi undang-undang) dan isu-isu yang boleh diadili (justiciable) yang ingin dikemukakan ke Mahkamah Persekutuan telahpun diputuskan.

"Persoalan mengenai kecuaian dan salah laku di pejabat awam juga telah diputuskan dengan sewajarnya.

"Oleh itu permohonan (kebenaran untuk merayu) ditolak. Tiada sebarang perintah berhubung kos," kata Hakim Harmindar yang turut bersidang bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Pada 15 November 2023 Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mohd Hatta selepas mendapati perayu tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan undang-undang terhadap perdana menteri dan kerajaan.

Mohd Hatta merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai 2023 yang membenarkan permohonan perdana menteri dan kerajaan selaku defendan untuk membatalkan saman berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 2018 Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketika itu menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2003 yang memberikan bidang kuasa perundangan ke atas Pulau Batu Puteh (dikenali sebagai Pedra Branca oleh Singapura) kepada Singapura walaupun sebelum perbicaraan kes itu, yang dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 28 Mei 2021, Mohd Hatta memfailkan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang didakwanya terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam pernyataan tuntutan itu Mohd Hatta memohon perintah supaya defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ pada 1 Jun 2018, sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Feb 2017.

Beliau turut memohon deklarasi bagi kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata, berjumlah sekurang-kurangnya RM10 juta tiap seorang.

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan) untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Feb 2017 sehingga tarikh mereka menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.

Pada prosiding hari ini Mohd Hatta diwakili peguam Mohaji Selamat manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak perdana menteri dan kerajaan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28