Agong perkenan tubuh RCI Batu Puteh, Batuan Tengah, Tubir Selatan

Sultan Ibrahim perkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Istana Negara pada Rabu.
Sultan Ibrahim perkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Istana Negara pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Ia selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi kenyataan memaklumkan, Sultan Ibrahim turut memperkenan lantikan tujuh Pesuruhjaya RCI yang dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Zainun Ali yang bertindak sebagai Timbalan Pengerusi.

Turut dilantik sebagai ahli ialah pengamal undang-undang, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu; mantan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin dan Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Pentadbiran, Profesor Datin Dr Faridah Jalil.

Selain itu ia turut disertai Pegawai Kewangan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah sebagai ahli.

"Ketua Pengarah BHEUU, Zamri Misman juga diperkenan Sultan Ibrahim sebagai Setiausaha RCI," kata bahagian itu pada Rabu selain menambah BHEUU akan bertindak sebagai urusetia RCI.

Mac tahun lalu, Sultan Ibrahim yang ketika itu Sultan Johor menzahirkan rasa murka dengan tindakan pentadbiran kerajaan terdahulu yang membuat keputusan berhubung isu tuntutan Batu Puteh, tanpa merujuk kepada baginda sehingga kawasan itu kini menjadi milik Singapura.

Batu Puteh ialah sebuah batu tunggal kira-kira 7.7 batu nautika (14km), selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44km) timur Singapura.

Artikel Berkaitan:

Ia kini menjadi milik Singapura, susulan pertikaian dibawa Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003.

ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura.

Batu Puteh yang terletak di pintu masuk timur Selat Singapura, mempunyai rumah api, helipad, loji penyahgaraman dan lebih penting lagi stesen penyiaran semula tentera.

Sebelum ini dilaporkan ada penemuan tiga dokumen di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung Batu Puteh pada 2 Februari 2017 di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ia termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an yang memperakukan Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, pada 11 Jun 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan.