KPKM perlu tambah insentif galak anak muda ceburi sektor perikanan

 Muhammad Faiz
Muhammad Faiz
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu menambah lebih banyak insentif atau geran bagi menggalakkan keterlibatan anak muda dalam sektor perikanan termasuk industri akuakultur, hiliran serta produk-produk bermargin tinggi.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, insentif tersebut penting bagi mengelakkan sumber marin negara terus dikuasai oleh nelayan dari negara jiran menjadi ancaman kepada kapal tempatan yang mencari hasil marin di kawasan itu.

Menurutnya, penglibatan sektor swasta amat diperlukan bagi menarik minat anak-anak muda dalam sektor perikanan yang berpotensi tinggi dalam ekonomi negara.

“Saya mengalu-alukan kerjasama dengan pertubuhan belia di Malaysia untuk mendengar pandangan bagaimana anak muda digalakkan menceburi sektor perikanan.Peluang sentiasa terbuka kepada individu yang berminat dalam sektor perikanan.

“Tidak dinafikan kerja dalam bidang ini adalah kotor, merbahaya dan sukar (3D), namun sektor ini tidak boleh selamanya bergantung kepada pekerja luar.

“Kami terbuka kepada usaha sebegini untuk membina lebih ramai pemilik perniagaan, usahawan dan tenaga kerja mahir tempatan dalam sektor perikanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penganggur terus menurun kepada 567,800 orang pada Disember daripada 569,000 orang pada November 2023, dengan kadar pengangguran 3.3 peratus.

Menurutnya, ia mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Muhammad Faiz, penglibatan aktif nelayan muda dalam Persatuan Nelayan (PN) ialah penting dalam memberikan suntikan idea baharu.

Ujarnya, dengan memberi tumpuan kepada kerjasama organisasi perkongsian awam-swasta, ia dapat memajukan sektor tersebut dengan lebih baik.

“LKIM telah menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi melahirkan nelayan muda yang berkemahiran tinggi dan mempunyai pengetahuan dalam teknologi seperti penggunaan dron serta internet of things (IOT).

“Usaha memodenkan nelayan adalah antara matlamat utama LKIM,” katanya.