Perak kekal larang wakil rakyat, pemimpin politik ceramah di masjid

Wakil rakyat dan pemimpin politik kekal dilarang untuk memberikan ceramah di dalam masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Gambar hiasan
Wakil rakyat dan pemimpin politik kekal dilarang untuk memberikan ceramah di dalam masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Wakil rakyat dan pemimpin politik kekal dilarang untuk memberikan ceramah di dalam masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi Garis Panduan Penganjuran dan Syarahan Agama Islam Negeri Perak yang baharu dikeluarkan berkuat kuasa 11 Mac 2024.

Menerusi satu surat pekeliling kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat Negeri Perak bertarikh 15 Mac 2024 turut menyatakan susulan garisan panduan baharu itu, surat makluman penangguhan mengajar serta bersyarah oleh penceramah luar dan dalam negeri Perak dikeluarkan pada 22 Ogos 2023 terbatal.

Edaran surat pekeliling yang disertakan dengan garis panduan baharu tersebut disahkan oleh Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Garis panduan yang disertakan dalam surat tersebut dikeluarkan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh menurut subperaturan 11(3) dan 17(4) Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.

Ia disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada Pegawai Tadbir Agama (PTA) daerah ketika mempertimbangkan permohonan penganjuran serta penyampaian syarahan agama Islam di masjid dan surau yang berdaftar di negeri ini.

Dalam mempertimbangkan sesuatu permohonan penganjuran dan penyampaian syarahan agama, PTA daerah hendaklah mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Pengawasan Daerah yang dianggotai Orang Besar Jajahan sebagai pengerusi, pegawai daerah atau wakil dan ketua polis daerah atau wakil.

Garis panduan tersebut terpakai kepada penganjur serta penceramah yang tidak memiliki Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak tetapi berhasrat menyampaikan syarahan agama di masjid dan surau yang berdaftar di negeri.

Penceramah dan penganjur hendaklah mengisi borang S I yang boleh dimuat turun dari laman web Jabatan Mufti Negeri Perak dan menghantar permohonan tersebut kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang berkenaan tidak kurang daripada 14 hari sebelum tarikh syarahan agama itu berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Jawatankuasa Pengawasan Daerah akan memberi pandangan kepada PTA daerah berhubung permohonan penganjuran dan penyampaian syarahan agama di masjid dan surau yang berdaftar.

Sekiranya permohonan penganjuran dan penyampaian syarahan agama diluluskan, PTA akan mengeluarkan kebenaran kepada pemohon melalui Borang S II manakala jika permohonan tidak diluluskan, pemakluman secara bertulis akan kepada pemohon.

Sementara itu, garis panduan tersebut meletakkan syarat larangan dalam mempertimbangkan permohonan penganjuran atau penyampaian syarahan agama iaitu PTA perlu memastikan tiada kebenaran diberikan kepada beberapa individu.

Mereka termasuklah individu yang telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mana-mana negeri; individu yang memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik dan individu yang bertanding mewakili mana-mana parti politik dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil yang terakhir.

Turut tidak dibenarkan ialah individu yang telah bersara sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Parlimen atau ADUN mana-mana negeri dan didapati aktif dalam mana-mana parti politik.

Sinar Harian pada 7 Mac 2023 melaporkan JAIPk menerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak menetapkan semua wakil rakyat tidak dibenar mengajar atau bersyarah di masjid dan surau berdaftar di negeri ini.

Larangan tersebut terpakai untuk semua Ahli Parlimen dan ADUN dari semua negeri termasuk Ahli Dewan Negara.

Arahan tersebut turut terpakai kepada individu yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik serta mereka yang pernah bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil.

Pada 23 Ogos tahun lalu, JAIPk mengumumkan penangguhan sesi mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama termasuk dari luar negara berkuat kuasa serta-merta.

Penangguhan dilakukan membabitkan semua masjid, surau diri Jumaat dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu.

Ketetapan tersebut bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana di Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.

Peraturan 23 (1) antara lain menyebut, peraturan-peraturan tersebut tidak terpakai bagi anggota Majlis; mufti mana-mana negeri di Malaysia; pegawai agama; guru agama yang dilantik kerajaan dan mana-mana orang yang pada pendapat Majlis mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28