Polis Sarawak tumpas sindiket edar dadah guna tong gas

Kok Chin (tiga dari kanan) ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, pada Selasa. Foto Bernama
Kok Chin (tiga dari kanan) ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Polis Sarawak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Miri, bahagian utara Sarawak melibatkan 21.7 kilogram (kg) metamfetamina atau syabu bernilai lebih RM700,000 yang disembunyikan dalam tong gas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan Ahad lepas, empat lelaki dan dua wanita berusia antara 28 hingga 50 ditahan.

"Sindiket ini telah mula bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan modus operandi yang digunakan adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung, kemudian mengubah suai tong gas dengan memasukkan sejumlah dadah sebelum dihantar ke satu lokasi yang telah ditetapkan untuk dipasarkan ke negara jiran.

"Turut dirampas dalam operasi ini ialah wang tunai berjumlah RM52,000, barang kemas dengan anggaran nilai RM54,941.40 dan empat buah kenderaan bernilai RM194,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM1.02 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak di sini, pada Selasa.

Kok Chin (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, pada Selasa. Foto Bernama
Kok Chin (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, pada Selasa. Foto Bernama

Kok Chin berkata, hasil saringan awal juga mendapati seorang daripada suspek positif dadah serta mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman tiga hari.

Sementara itu, dalam kes berasingan polis menahan seorang lelaki berumur 25 tahun dan merampas dadah jenis methamphetamine atau syabu sebanyak 10 kilogram di dalam kereta suspek di Bintulu pada 11 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Kok Chin berkata, susulan penahanan itu, polis bertindak membuat serbuan di sebuah rumah kedai di bandar berkenaan, berdasarkan pandu arah oleh suspek.

"Hasil serbuan itu, sebanyak 170 peket jus yang mengandungi serbuk ekstasi dan 577 gram pil ekstasi ditemukan, menjadikan nilai rampasan dadah sebanyak RM412,198.72.

"Jumlah dadah yang dirampas untuk pasaran tempatan itu dianggarkan boleh digunakan oleh 69,923 penagih dadah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kok Chin berkata, turut dirampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz bernilai RM150,000 dan seutas jam tangan berjenama Rolex bernilai RM37,000.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Dadah akan dibuat esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!