Pindaan kewarganegaraan dibimbangi burukkan lagi situasi - IDEAS

Kerajaan akan membentangkan cadangan pindaan Perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara di Parlimen bulan ini. - Foto: Bernama (Gambar kecil: Tricia)
Kerajaan akan membentangkan cadangan pindaan Perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara di Parlimen bulan ini. - Foto: Bernama (Gambar kecil: Tricia)
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan memisahkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan termasuk yang melibatkan kanak-kanak terdampar bagi mengelak berlakunya situasi lebih buruk.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, ini kerana pindaan tersebut berisiko mendatangkan situasi lebih teruk kepada individu tanpa kewarganegaraan selain membebankan ekonomi dan mengancam keselamatan negara.

“Kami berpendapat bahawa kerajaan sepatutnya memisahkan cadangan pindaan tersebut dan meneruskan dengan dua pindaan yang akan memberi hak sama rata kepada ibu warga Malaysia untuk mendapat kewarganegaraan secara automatik kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

“Pindaan yang dicadangkan ini akan memburukkan lagi situasi semasa, meningkatkan jumlah kanak-kanak tanpa warganegara dan mewujudkan generasi yang tiada capaian terhadap hak asasi, menyekat keupayaan mereka untuk mencari rezeki, dan seterusnya meningkatkan risiko terdedah kepada eksploitasi dan pemerdagangan manusia.

“Selain itu, banyak masa lebih juga harus diberi kepada ahli Parlimen untuk membahas kandungan draf pindaan sebelum pengundian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor berkata, kerajaan akan membentangkan cadangan pindaan Perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara di Parlimen bulan ini.

Ujarnya, ia bertujuan untuk meminda perkataan ‘bapa’ kepada ibu bapa’ atau ‘ibu atau bapa’ selepas draf itu dibentangkan kepada Majlis Raja-raja.

Sementara itu, baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, komposisi penduduk di negara ini, terutama dengan adanya 3.5 juta warga asing, memerlukan kerajaan membuat pindaan kepada Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan, yang ketika ini memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Tricia, tambah membimbangkan lagi apabila justifikasi yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara berulang kali bagi pindaan ini bahawa kewarganegaraan adalah satu keistimewaan.

“Saya ingin menekankan bahawa menggunakan keselamatan negara sebagai justifikasi untuk pindaan regresif ini ibarat menghalakan tumpuan daripada isu sebenar dan merupakan satu usaha yang jelas untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kemudaratan terhadap kanak-kanak tanpa warganegara,” ujarnya.

Malah katanya, KDN sehingga kini juga gagal memberikan sebarang data untuk membuktikan bahawa keadaan semasa kanak-kanak tanpa warganegara merupakan ancaman keselamatan negara walaupun diminta berulang kali berbuat demikian.

Sementara itu, Presiden Pengasas IDEAS, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz menegaskan, jika pindaan itu diluluskan Malaysia akan menjadi satu-satunya negara di dunia dalam tempoh satu dekad yang melucutkan perlindungan dan hak kanak-kanak.

“Pindaan zalim ini adalah serangan langsung terhadap Perlembagaan Persekutuan dan satu penghinaan kepada nilai-nilai asas negara kita,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!