Kewarganegaraan: Pindaan Perlembagaan ambil kira beberapa faktor

Saifuddin Nasution ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Saifuddin Nasution ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan dibuat kerana mengambil kira beberapa faktor termasuk keperluan untuk tidak memberikan status kerakyatan secara automatik kepada warga asing yang bermastautin di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan Perlembagaan sedia ada, anak yang dilahirkan oleh pemastautin tetap di negara ini layak mendapat taraf kewarganegaraan jika kedua-dua ibu bapanya merupakan pemastautin tetap.

Saifuddin Nasution berkata, pemberian status kewarganegaraan itu adalah satu ketetapan yang dibuat kerajaan sejak tahun 1963 lagi sebagai dasar untuk menguruskan permohonan masuk rakyat Singapura ke Malaysia selepas tidak menjadi lagi sebahagian daripada negara ini.

"Bila berpisah dua negara (Malaysia dan Singapura), maka ia dibuat (dasar) kalau rakyat Singapura masuk (tinggal) ke Semenanjung, mereka memegang kad pengenalan merah.

"Jadi khusus untuk suasana itu, maka (satu peruntukan) Perlembagaan dibuat bahawa jika kedua-dua pemegang kad pengenalan merah berkahwin dan ada anak di sini, maka anak yang dilahir dapat kad pengenalan biru (status warganegara) tapi secara teknikalnya, pemegang kad pengenalan merah itu masih lagi warganagera asing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang ingin tahu kekangan dihadapi Kementerian Dalam Negeri dalam menyelesaikan masalah kewarganegaraan membabitkan pemastautin sementara dan tetap di negara ini.

Justeru, katanya dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diusulkan, kerajaan mencadangkan agar anak kepada pasangan pemastautin tetap yang dilahirkan di negara ini tidak lagi terus mendapat kewarganegaraan dan perlu membuat permohonan kewarganegaraan.

"Sebab, mana mungkin (perkara) ini berlaku kalau kita berada di luar negara?. Contohnya kita warganegara Malaysia tapi merupakan pemastautin tetap di Australia dan lahirkan anak di sana, mereka (Australia) tidak memberikan kewarganegaraan automatik,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: