Beri Perak pengecualian eksport NR-REE

Saarani (tengah) ketika menyempurnakan gimik Pelancaran Pra-pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri di Ibu Pejabat, Perak SADC di sini pada Selasa.
Saarani (tengah) ketika menyempurnakan gimik Pelancaran Pra-pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri di Ibu Pejabat, Perak SADC di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak perlu diberikan pengecualian untuk mengeksport bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) ke luar negara bagi mengelak kehilangan sumber pendapatan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu sudah pun disuarakan menerusi perjumpaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri sebelum ini.

Menurutnya, pada tahun lalu sahaja sebanyak RM25.2 juta hasil royalti diperoleh melalui pengeksportan NR-REE berkenaan dan kerajaan negeri tidak boleh berhenti mengeksport mineral tersebut memandangkan bahan mentah mineral tersebut telah tersedia

"Kalau kerajaan persekutuan berterusan untuk menghalang Perak untuk mengeksport, bermakna kami akan kehilangan hasil itu. Hasil dah ada nak jual ke mana?

"Jadi kerana itu, kita minta kementerian (Sumber Asli dan Kelestarian Alam) supaya ada moratorium pengecualian kepada negeri Perak untuk kami mengeksport sehingga wujud dasar yang ditetapkan oleh kementerian atau pihak kementerian perlu menubuhkan satu entiti yang menjadi pembeli kepada hasil NR-REE ini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Pelancaran Pra-pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri dan Prapelancaran Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Ibu Pejabat, Perak SADC di sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan pihaknya telah menerima kunjungan pelabur beberapa hari yang lalu yang berminat untuk membuka kilang perindustrian berkaitan aktiviti huluan dan hiliran NR-REE.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan lihat perkara ini secara serius. Insya-ALLAH kita akan jumpa dengan kementerian (Sumber Asli dan Kelestarian Alam) untuk memberi keistimewaan kepada negeri Perak bagi mendahului (membina kilang memproses NR-REE) kerana kita dah ada barang tetapi tak boleh eksport.

"Kita mesti ada badan yang sanggup membeli dan memprosesnya dalam negara. Jadi kita harap kementerian akan bersetuju dengan pendirian kita," katanya.

Untuk rekod, Perak mengeksport bahan mentah NR-REE ke China dan menerima royalti hasil penjualan mineral tersebut.

Pada 12 Mac lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan semua kerajaan negeri agar mematuhi pelaksanaan moratorium pengeksportan bahan mentah NR-REE yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

Surat peringatan mengenai perkara itu telah dikeluarkan kepada semua kerajaan negeri pada 6 Mac lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28