Perak semak undang-undang berkaitan tanah kawal warga asing bercucuk tanam

Saarani (tengah) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perak SADC, Pelancaran Pra-pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri dan Prapelancaran Karnival Agropelancongan Perak 2024 pada Selasa.
Saarani (tengah) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perak SADC, Pelancaran Pra-pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri dan Prapelancaran Karnival Agropelancongan Perak 2024 pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan menyemak undang-undang berkaitan tanah sedia ada bagi mengelak sektor pertanian dikuasai warga asing.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui terdapat warga asing yang menyewa tanah milik warga tempatan untuk tanaman pertanian di negeri ini.

Menurutnya, disebabkan keadaan itu Pejabat Penasihat Undang-Undang dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) diminta menyemak semula undang-undang sedia ada untuk ditambah baik.

"Kita ambil maklum tentang kegusaran itu sebab kalau saya turun padang memang terdapat di negeri Perak di mana warga asing telah menyewa tanah orang tempatan untuk menanam sayur, memang ada.

"Cuma dari aspek undang-undang kita akan kaji dan melihat sama ada peraturan yang ada sekarang ini ada loophole atau kelonggaran di mana-mana atau kelemahan di mana-mana," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Pelancaran Pra-pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri dan Prapelancaran Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Ibu Pejabat, Perak SADC di sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya.

Sementara itu, Saarani menjelaskan keadaan tersebut berlaku disebabkan orang tempatan yang tidak memanfaatkan tanah milik mereka.

"Pada waktu yang sama saya nak ingatkan kepada orang tempatan ia bukan salah warga asing yang bercucuk tanam tetapi salah orang tempatan yang ada tanah tetapi tak bercucuk tanam.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak makan sayur, jadi oleh kerana orang tempatan tak nak tanam atas tanah dia sendiri, tak nak sewa tanah untuk tanam, maka pendatang asing ambil kesempatan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa rantaian perbekalan sayur-sayuran di Malaysia didakwa mula dikuasai pendatang asing yang diusahakan mereka secara haram dengan saiz keseluruhan kini dikatakan hampir 1,000 hektar.

Kegiatan berkenaan yang dikatakan mula aktif sejak lima tahun lalu didedahkan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia yang membuat pemantauan dan risikan melalui ahlinya di seluruh negara.

Pada 17 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pelaksanaan sistem sewaan tanah pertanian khususnya untuk penanaman sayur kepada pengusaha tempatan dikaji semula bagi mengelakkan sektor itu dikuasai warga asing.

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan pengusaha tempatan yang memperoleh manfaat itu bertindak menyewakannya kepada warga asing untuk diusahakan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!