Gubal akta berkait jualan barangan sentuh sensitiviti agama

Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Khairil Nizam)
Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Khairil Nizam)
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa untuk menggubal peruntukan undang-undang dalam Akta Perihal Dagangan 2011 dengan memperketatkan peruntukan berkaitan penjualan barangan melibatkan sensitiviti agama Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, isu membabitkan penghinaan kalimah ALLAH sangat sensitif dan tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang terlibat.

"Kerajaan mesti bertindak lebih tegas terhadap isu penghinaan kalimah ALLAH yang berlaku dalam penjualan stoking oleh KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart).

"Kalimah ALLAH merupakan lafaz tertinggi bagi umat Islam dan penjualan produk seperti ini amat mengguris hati umat Islam. Tindakan penghinaan tersebut jelas mencetuskan kemarahan, lebih-lebih lagi ia berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung dilaporkan telah mempersoal tindakan KK Super Mart kerana tidak peka terhadap penawaran produk yang menyentuh sensitiviti orang Islam dan meminta pihak berkuasa menyiasat segera perkara tersebut.

Bagaimanapun pada Sabtu, pengasas pasar raya tersebut tampil memohon maaf susulan terdapat penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah ALLAH di beberapa premisnya.

Menurut Datuk Seri Dr KK Chai, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.

Sementara itu, Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut menegaskan kedua-dua pihak terlibat iaitu KK Mart Group dan pengilang Xin Jian Chang perlu dikenakan tindakan tegas supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Ia penting bagi memastikan tiada pihak berani melalukan perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama Islam walaupun permohonan maaf secara terbuka telah dibuat.

"Kita tidak mahu ia menjadi tren berterusan di negara ini, apabila kesucian agama Islam dipermainkan kemudian disusuli hanya dengan permohonan maaf tetapi (nanti) berlaku lagi kes lain seolah-olah tiada tindakan tegas diambil kepada pihak yang terlibat.

"Pas memberi amaran bahawa isu melibatkan penghinaan kalimah ALLAH sangat sensitif dan menyeru semua pihak jangan mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!