Beberapa pihak termasuk KK Mart akan dipanggil masa terdekat - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - KK Mart antara beberapa pihak yang akan dipanggil polis untuk siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua mereka dan saksi berkenaan akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat ini.

"Polis sedang menyiasat kes ini dan semua yang berkaitan akan dipanggil untuk membantu siasatan," katanya pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia

Pada Isnin, dalam sidang Dewan Negara di Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh KK Mart dan vendornya bagi menangani isu yang mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam.

Shamsul Anuar memaklumkan, sebanyak 36 laporan polis diterima berkaitan isu penjualan stoking berkenaan dan satu kertas siasatan sudah dibuka.

Sabtu lalu, pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah ALLAH di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya sebelum tular di media sosial.

Pihak tersebut menjelaskan bahawa penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah ALLAH SWT di beberapa kedai rangkaian serbaneka KK Mart itu adalah produk konsainan oleh pihak vendor.

Artikel Berkaitan:

Pengasasnya, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook iaitu Ricky Shane CA turut tampil membuat permohonan maaf selepas dipercayai membuat komen berbaur penghinaan terhadap kalimah ALLAH dalam isu stoking.

Lelaki itu kini disiasat polis bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28