Peruntukan meningkat, banyak lampu jalan boleh diselenggara

Dr Izani (tengah) menyampaikan surat tawaran kepada kontraktor terpilih pada Majlis Perasmian Cabutan Kerja Undi JKR, Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bil 1/2024 pada Isnin.
Dr Izani (tengah) menyampaikan surat tawaran kepada kontraktor terpilih pada Majlis Perasmian Cabutan Kerja Undi JKR, Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bil 1/2024 pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Peruntukan enam kali ganda yang diluluskan kerajaan Persekutuan membolehkan lebih banyak penyelenggaraan lampu jalan di jalan Persekutuan di seluruh negeri Kelantan dinaik taraf terutama di kawasan kemalangan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Izani Husin berkata, tahun ini kerajaan negeri menerima sebanyak RM6.1 juta untuk tujuan berkenaan berbanding tahun lalu hanya lebih RM1 juta.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih baik dan membolehkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri melaksanakan program pemasangan lampu di kawasan kemalangan dan kawasan berisiko kemalangan akibat jalan gelap.

"Terima kasih kerana meluluskan peruntukan besar itu selepas JKR mengenal pasti jalan Persekutuan yang perlu diselenggara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Cabutan Kerja Undi JKR, Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bil 1/2024 pada Isnin.

Dr Izani memberitahu, seramai 40 daripada 143 kontraktor yang memenuhi syarat bertuah dalam cabutan undi berkenaan dan kesemua mereka akan dipantau oleh JKR.

Jelasnya lagi, antara lokasi terbabit ialah Jalan Kubang Kerian-Bachok, Jalan Pasir Hor-Persimpangan Batu 4, Jalan Istana Negeri-Pasir Tumboh dan Jalan Kota Bharu-Gua Musang.

Dalam pada itu beliau berharap kontraktor terpilih dapat melakukan kerja-kerja sebaik mungkin dan penuh integriti mengikut kontrak yang dipersetujui bersama.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerajaan negeri menyasarkan kesemua projek bernilai antara RM50,000 hingga RM200,000 itu dapat disiapkan secara berperingkat sehingga Julai depan.

"Penyelenggaraan ini merupakan peringkat pertama dan selepas ini akan dikenal pasti lagi sebelum kita memohon bajet lain," katanya.

Beliau juga mahu JKR dapat menjalankan tugas dengan baik dan memantau kerja-kerja dilakukan kontraktor supaya hasilnya sempurna.

"Pembayaran pula perlu disegerakan selepas kerja-kerja siap bagi membantu kontraktor membuat pusingan modal untuk projek mereka seterusnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!