Kedah harap peruntukan penyelidikan di tapak arkeologi diluluskan

Mohd Salleh
Mohd Salleh
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri berharap permohonan peruntukan RM41 juta daripada kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2024 dapat diluluskan untuk pembangunan dan penyelidikan Tapak Arkeologi Sungai Batu, Merbok, di daerah Kuala Muda.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, permohonan itu sudah dibuat menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN) kepada Kementerian Pelancongan Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Saya sudah beritahu kepada Menteri Pelancongan, (Datuk Seri Tiong King Sing), saya minta permohonan RM41 juta daripada JWN diluluskan daripada RM350 juta peruntukan untuk Tahun Melawat Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2024 baru-baru ini diberi kepada Sungai Batu sahaja.

"Jadi saya harap kementerian segerakanlah peruntukan yang diminta untuk Sungai Batu untuk kita jadikan tempat destinasi yang wajib dikunjungi oleh sesiapa yang mai Kedah," katanya ketika menjawab soalan tambahan (PN-Tokai) Datuk Dr Mohd Hayati Othman pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Dr Mohd Hayati pada sidang itu turut meminta kerajaan negeri memohon peruntukan daripada MOTAC untuk pembangunan Sungai Batu termasuk usaha mengeluarkan kapal purba di tapak arkeologi Sungai Batu yang menjadi bukti bahawa kawasan itu merupakan pelabuhan perdagangan kosmopolitan.

Sementara itu, menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad yang bertanya mengenai peranan kerajaan negeri dalam menjaga tapak-tapak warisan di Kedah, Mohd Salleh berkata, kerajaan negeri akan mengawal selia hal berkaitan bangunan serta khazanah warisan yang terdapat di negeri ini.

"Selain itu, kerajaan negeri bercadang untuk melantik Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK) atau pun mewujudkan satu agensi khas bagi menjaga tapak warisan yang telah diwartakan.

"Ini membolehkan agar tapak-tapak warisan tersebut terpelihara untuk tujuan pelancongan warisan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, MOTAC melalui JWN juga sentiasa berusaha dan memberi perhatian terhadap khazanah warisan di Kedah termasuk Daerah Yan melalui pewartaan dan pengiktirafan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

"Pewartaan akan memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan, selain untuk memulihara, memelihara dan melindungi khazanah warisan tersebut," katanya.

Mohd Salleh berkata, sehingga kini, terdapat 10 tapak warisan di Kedah yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) iaitu Kota Kuala Kedah, Balai Polis Alor Setar (Lama), Pejabat Pos Besar Alor Setar (Lama), Sekolah Kebangsaan Tunku Putra, Baling dan Balai Polis Sungai Petani, Kuala Muda.

"Selain itu, Kompleks Percandian Pengkalan Bujang (Tapak 23), Kuala Muda, Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8), Kuala Muda,Tapak Arkeologi Sungai Batu, Kuala Muda, Candi Permatang Pasir, Kuala Muda dan Kompleks Percandian Bukit Choras (Tapak 1), Yan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!