UMT tawar tuisyen percuma bantu pelajar asnaf

Tuisyen percuma menerusi inisiatif dinamakan 'Asnaf to Asnaf’ adalah usaha membantu pelajar asnaf. Foto UMT
Tuisyen percuma menerusi inisiatif dinamakan 'Asnaf to Asnaf’ adalah usaha membantu pelajar asnaf. Foto UMT
A
A
A

KUALA NERUS - Pusat Islam Sultan Mahmud Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan tuisyen percuma menerusi inisiatif dinamakan 'Asnaf to Asnaf’ sebagai usaha membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, program tuisyen itu melibatkan sekumpulan mahasiswa asnaf UMT yang bertindak sebagai tenaga pengajar kepada pelajar sekolah kurang berkemampuan di sekitar daerah ini.

"Program tuisyen itu memberi peluang kepada pelajar sekolah kategori asnaf untuk mendapatkan bimbingan tambahan dalam pelajaran secara percuma.

“Melalui bimbingan yang diberikan oleh mahasiswa lebih berpengalaman maka pelajar sekolah dapat memahami konsep-konsep yang diajar secara mendalam.

"Ini membantu pelajar ini supaya dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka dan seterusnya memberi peluang untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Seorang mahasiswa UTM mengajar pelajar asnaf secara percuma. Foto UMT
Seorang mahasiswa UTM mengajar pelajar asnaf secara percuma. Foto UMT

Mazlan berkata, inisiatif itu turut membantu pelajar asnaf UMT yang kurang berkemampuan menjana wang sampingan.

Jelasnya, objektif program tersebut dapat membantu mahasiswa daripada keluarga asnaf menjadi pembantu guru dengan bayaran saguhati yang bakal diterima hasil daripada sumbangan zakat.

Artikel Berkaitan:

“Melalui program ini, pelajar asnaf UMT juga menerima elaun sebanyak RM960 dengan menjadi guru tuisyen melalui sumbangan tajaan penuh daripada Etiqa Family Takaful Berhad berjumlah RM122,900," katanya.

Sementara itu Mazlan berkata, program kebajikan itu melibatkan 300 murid dari tiga sekolah di Kuala Nerus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, SK Tanjung Gelam dan SK Mengabang Telipot.

Selain itu, beliau menyifatkan program sedemikian merupakan platform terbaik dalam meningkatkan motivasi pelajar asnaf untuk mengukuhkan pencapaian akademik sekali gus dapat mengubah nasib keluarga ke tahap lebih baik.

“Dengan melihat contoh teladan yang dipamerkan mahasiswa dalam mengejar ilmu maka pelajar sekolah dapat menjadikannya sebagai idola dan inspirasi untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Ini tidak hanya meningkatkan semangat belajar tetapi juga membantu membina keyakinan diri yang penting bagi mencapai matlamat pendidikan mereka," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28