Agong berkenan rasmi Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah

Al-Sultan Abdullah diberikan taklimat tentang bangunan PPSAS sempena perasmian pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri di KotaSAS di sini pada Khamis.
Al-Sultan Abdullah diberikan taklimat tentang bangunan PPSAS sempena perasmian pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri di KotaSAS di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS di sini pada Khamis.

Dalam titah perasmiannya, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa bertuah dapat merasmikan PPSAS sebelum berakhirnya tempoh khidmat baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, majlis perasmian pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri itu ditunggu-tunggu sepanjang lima tahun ini.

"Saya berharap PPSAS akan menjadi bangunan ikonik dan daya tarikan baharu di Pahang dan Kuantan khususnya," titah Seri Paduka Baginda.

Majlis Perasmian PPSAS turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Al-Sultan Abdullah diiringi Wan Rosdy menyempurnakan gimik perasmian PPSAS di sini pada Khamis
Al-Sultan Abdullah diiringi Wan Rosdy menyempurnakan gimik perasmian PPSAS di sini pada Khamis

Dalam titahnya itu, Al-Sultan Abdullah menyentuh tentang kronologi pembinaan PPSAS yang diusahakan Seri Paduka Baginda bermula pada 2015.

“Saya kena kongsi kronologi pembinaan PPSAS ini di mana pada 2015, cadangan pembinaan pusat pentadbiran baharu telah dipersembahkan kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah memandangkan Wisma Sri Pahang yang dibina sejak 1970 begitu lama dan mempunyai masalah penyelenggaraan.

Artikel Berkaitan:

"Ia dicadangkan di bina di KotaSAS ini memikirkan sudah sampai masanya bandar Kuantan diperbesarkan lagi supaya kita boleh perluaskan penduduk dan paling penting sekali bagi mengatasi masalah lalu lintas di Kuantan yang semakin sesak," titahnya.

Jelas Seri Paduka Baginda, permohonan projek itu diluluskan dan pembinaannya bermula pada 2018 tetapi terhenti pada 2020 hingga 2021 ekoran pandemik Covid-19.

"Dengan terbinanya pusat pentadbiran baharu ini, kerajaan negeri diharap dapat mempertingkatkan lagi usaha, hasil kerajaan negeri selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini," titah Al-Sultan Abdullah.

Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, PPSAS mula dibina dengan kos RM415.52 juta berkonsepkan reka bentuk diinspirasikan daripada Jata Negeri Pahang.

Menurutnya, bangunan PPSAS terbahagi kepada empat blok utama yang menempatkan keseluruhan pentadbiran kerajaan negeri dengan penerapan bangunan pintar yang menekankan ciri-ciri keselamatan.

“Pembinaan PPSAS turut mengaplikasikan teknologi hijau dan penekanan kepada pemeliharaan alam sekitar seperti mana yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong yang mahu setiap pembangunan di negeri ini perlu berlandaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Wan Rosdy berkata, dengan terbinanya bangunan PPSAS itu, suasana bekerja warga penjawat awam kerajaan negeri akan lebih kondusif selain dapat meningkatkan lagi produktiviti serta mutu perkhidmatan ke arah keseimbangan pembangunan dan kelestarian negeri Pahang.