[VIDEO] Asnaf kongsi rezeki jual kuih bantu adik Nur Khayla

A
A
A

MELAKA - Walaupun dirinya dikategori penerima asnaf, namun seorang wanita sanggup berkongsi rezeki menerusi hasil jualan kuih bagi membantu seorang kanak-kanak perempuan yang menghidap penyakit hati kronik atau biliary atresia (BA).

Nor Komariah Mohd Khalid lourdes Lio, 40, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Dak Nor' berkata, dia terpanggil untuk berkongsi rezeki selepas melihat video kanak-kanak kecil itu, Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idham yang berusia setahun enam bulan diuji penyakit kronik tersebut.

Menurutnya, meskipun sumbangan sebanyak RM2,000 tidak mencukupi bagi menampung kos pembedahan Nur Khayla Azzahra ke negara China, namun sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan sedikit beban dalam usaha mengumpul dana keseluruhan berjumlah RM250,000.

Nor Komariah (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Noreen ketika ditemui di Taman Desa Baru, di sini, pada Isnin.
Nor Komariah (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Noreen ketika ditemui di Taman Desa Baru, di sini, pada Isnin.

Dak Nor berkata, dia yang sebelum ini sering menerima bantuan orang ramai disebabkan kemiskinan hidup mahu membantu menerusi hasil jualan makanan seperti mi siput, bahulu dan emping jagung selain rakannya yang mempunyai sebuah bengkel motosikal turut menderma.

"Rasa bersyukur boleh berkongsi (rezeki) dengan orang lain, dulu Nor selalu dapat bantuan dan kali ini Nor kumpulkan wang jualan untuk beri kepada mereka yang memerlukan.

"Nor rasa ini satu amanah kerana bukan semua hasil jualan untuk kita gunakan sendiri tapi ada juga rezeki untuk orang lain," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan wang sumbangan kepada ibu Khayla,Noreen Ismail di Taman Desa Baru, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Artikel Berkaitan:

Mohd Noor Helmy Abdul Halem (kiri) dan Nor Komariah (tengah) ketika menziarahi kanak-kanak itu.
Mohd Noor Helmy Abdul Halem (kiri) dan Nor Komariah (tengah) ketika menziarahi kanak-kanak itu.

Dak Nor yang aktif di media sosial Tiktok berkata, walaupun dia perlu ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan bulanan sebagai pesakit mental, namun tidak menghalang untuknya mengumpulkan dan menyerahkan segara wang sumbangan tersebut.

"Saya harap orang ramai dapat mengambil keberkatan bulan Ramadan untuk sama-sama mencukupkan wang dana yang diperlukan kanak-kanak itu tidak kira berapa jumlahnya supaya pembedahan dapat dijalankan segera," katanya.

Sementara itu, Noreen berkata, dia terharu dengan kebaikan yang dilakukan individu terbabit walaupun merupakan golongan asnaf, namun sudi membantu anak bongsu daripada tiga beradik itu.

"Memang sangat tersentuh sebab dia sanggup keluarkan duitnya sendiri untuk bantu Kayla,

"Orang yang kita faham keadaannya macam mana, saya bersyukur dia sanggup bantu Khayla," katanya.

Sinar Harian pada 29 Februari lalu menyiarkan mengenai luluh hati seorang ibu apabila mengetahui anak bongsunya disahkan menghidap penyakit itu atau dikenali sebagai kegagalan fungsi hati selepas lima hari dilahirkan.

Ibunya, Noreen Ismail, 35, berkata dengan sokongan dari pihak doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sepakat bahawa Khayla akan melakukan pemindahan hati di Hospital Renji, China.

"Kos yang diperlukan untuk Khayla adalah sebanyak RM250,000.

"Kami seboleh-bolehnya mahu pembedahan dapat segera dijalankan bagi memastikan kesihatan Khayla menjadi lebih baik, namun apakan daya kos pembedahan terlalu besar," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28