Guru sukar kawal keadaan kelas

Laporan muka depan Sinar Ahad. (Gambar kecil: Sharifah muhaiziah)
Laporan muka depan Sinar Ahad. (Gambar kecil: Sharifah muhaiziah)
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah kepadatan murid di sekolah bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa sepanjang proses pembelajaran, malah guru-guru juga sukar mengawal keadaan kelas terutama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Seksyen 19 Shah Alam, Sharifah Muhaiziah Syed Mustafa berkata, jumlah pelajar Tingkatan Satu dan Dua sahaja di sekolahnya sudah mencecah seramai 1,000 orang.

Menurutnya, bagi sesi pagi iaitu Tingkatan Tiga hingga Lima pula seramai 1,200 orang.

“Keadaan ini menyebabkan pelajar tidak dapat belajar secara kondusif kerana jumlah yang terlalu ramai, malah guru juga turut menyuarakan masalah sama kerana tidak mampu mengawal keadaan kelas.

“Masalah kepadatan pelajar di sekolah ini bukan perkara baharu tetapi hampir lima tahun lepas, jumlah pelajar melebihi 2,000 orang ini berlaku,” katanya.

Tambah beliau, jumlah untuk sesi petang sahaja seramai 1,000 orang pelajar dan jumlah keseluruhan pelajar sesi pagi serta petang hampir 2,000 orang.

Katanya, bila-ngan pelajar antara 40 hingga 45 orang di dalam satu-satu kelas boleh mengundang rasa tidak selesa dan pada masa sama menyebabkan guru sukar mengawal keadaan.

Sharifah Muhaiziah berkata, faktor kekurangan sekolah di beberapa kawasan menyebabkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tiada pilihan selain meletakkan semua pelajar di sekolah yang sama.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun ada cadangan untuk buat kabin tam-bahan bagi memudahkan proses PdP, namun kekurangan jumlah guru bagi subjek utama dan elektif akan mengundang lebih banyak masalah,” katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, pihak PPD perlu mencari penyelesaian secara tuntas bagi menangani masalah tersebut.

“Kawasan Seksyen 19 tidak mempunyai sekolah menengah yang lain, jadi pelajar yang tinggal di Seksyen 23, Seksyen 22, Kampung Kebun Bunga Batu Tiga, Taman Pinggiran USJ, Kampung Melayu Hicom dan Seksyen 15 juga turut bersekolah di sini.

“Pihak sekolah cuba sebaik mungkin dan buat masa ini mana-mana kelas yang tidak digunakan dijadikan tempat PdP.

“Jika tambah kelas tetapi jumlah guru pula sedikit, ia tidak akan menyelesaikan masalah sedia ada,” kata beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28