Murid Tahun 1 SK Cyberjaya dipindah ke sekolah berdekatan - KPM

Tangkap layar menunjukkan keadaan murid Tahun 1 yang ramai di SK Cyberjaya. Foto Instagram
Tangkap layar menunjukkan keadaan murid Tahun 1 yang ramai di SK Cyberjaya. Foto Instagram
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan penyuraian murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya ke beberapa buah sekolah berdekatan.

Ia susulan laporan mengenai murid Tahun 1 sekolah berkenaan yang mempunyai 13 kelas dan setiap kelas menempatkan 50 orang murid menjadi tular di sosial media.

Menerusi kenyataan, KPM memaklumkan pihaknya juga dalam proses meluluskan pembinaan kabin 12 buah bilik darjah tambahan di sekolah terbabit sebagai langkah jangka pendek.

"KPM prihatin terhadap isu kepadatan murid di SK Cyberjaya seperti dilaporkan. Kementerian ini sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan murid, guru dan semua warga sekolah di seluruh negara," katanya pada Jumaat.

Ujar kementerian itu, sebagai langkah jangka panjang, SK Cyberjaya yang dibida dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) Rolling Plan Ketiga (RP3) pada tahun lalu telah mendapat kelulusan dan dalam proses perolehan.

"Sekolah baharu ini bakal dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain mengikut konsep reka dan bina bagi mempercepatkan proses pembinaannya," jelas KPM.

Sebelum ini, laman Facebook komuniti setempat memaparkan situasi kepadatan murid Tahun 1 yang kemudiannya mengundang pelbagai reaksi ibu bapa dan warganet.

Difahamkan, jumlah keseluruhan kelas yang dibuka kepada murid sekolah itu adalah 13 kelas.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28