Salah sudah bersedia 'ajar' United

Mohamed Salah (kiri) bakal diturunkan menentang United selepas pulih daripada kecederaan. Foto AFP
Mohamed Salah (kiri) bakal diturunkan menentang United selepas pulih daripada kecederaan. Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp percaya Mohamed Salah sudah bersedia untuk diturunkan berdepan Manchester United pada suku akhir Piala FA Ahad ini apabila pemain Mesir itu kembali cergas selepas kecederaan hamstring yang berpanjangan.

Salah yang tidak beraksi sejak 1 Januari lalu kerana kecederaan itu meledak gol ketika The Reds membelasah Sparta Prague 6-1 pada Khamis untuk mara ke suku akhir Liga Europa.

Gol itu menyaksikan Salah menjadi pemain Liverpool pertama yang menjaringkan 20 atau lebih gol dalam tujuh musim berturut-turut.

Pemain berusia 31 tahun itu menjaringkan lebih banyak gol menentang United berbanding mana-mana kelab lain apabila merobek 12 kali gawang pasukan itu dalam 13 pertemuan.

“Salah memiliki kualiti tulen dan tanyalah dia apa yang paling dia suka tentang Manchester United.

“Dia seorang pemain yang luar biasa, pemain bertaraf dunia dan cara kami mengharungi perlawanan tanpa kehadiranya adalah sukar dipercayai. Tetapi lebih baik dia berada di atas padang berbanding hanya di bilik persalinan.

“Kami boleh membina pasukan terbaik sekarang dan dia sudah bersedia untuk menentang United,” katanya.

Sebaliknya, United mengharungi musim kedua yang menyedihkan di bawah kendalian Erik ten Hag, dengan Piala FA merupakan peluang terakhir untuk meraih trofi.

Artikel Berkaitan:

Mereka menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menghalang Liverpool menjaringkan gol musim ini dalam keputusan seri 0-0 ketika kedua-dua pasukan bertemu di Anfield pada Disember.

Walaupun Liverpool menikmati kejayaan yang jauh lebih besar daripada United semasa Klopp mengendalikan pasukan, dia hanya mampu menang dua daripada sembilan kunjungannya ke Old Trafford.

“Ia sentiasa menjadi tempat yang sukar untuk kami," kata Klopp.

Krisis kecederaan Liverpool kembali pulih dengan Ibrahima Konate dan Ryan Gravenberch mungkin dapat kembali pada Ahad.

Tetapi Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Curtis Jones dan Diogo Jota kekal diketepikan sehingga sekurang-kurangnya selepas rehat antarabangsa akan datang.


Kepulangan Hojlund tambah sengat serangan United

Dalam pada itu Ten Hag percaya pasukannya akan lebih lengkap dengan kembalinya Rasmus Hojlund, Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka untuk perlawanan suku akhir Piala FA Manchester United menentang Liverpool pada Ahad.

United yang dilanda kecederaan mengharungi musim buruk dan perlu mengatasi pasukan Klopp di Old Trafford pada Ahad untuk mengekalkan harapan mereka menjulang satu-satunya trofi musim ini.

“Kami mempunyai minggu yang baik. Hari ini kami mengadakan sesi latihan dan mereka semua berlatih.

Hojlund
Hojlund

“Saya rasa (mereka bersedia untuk diturunkan). Kita ada satu sesi latihan lagi esok. Sudah tentu, kita perlu melihat bagaimana keadaan mereka, tetapi ia kelihatan baik,” katanya.

Ten Hag juga memberikan perkembangan positif mengenai pemain tengah United, Mason Mount yang diketepikan selama empat bulan kerana masalah betis.

"Ia adalah sangat baik. Mason Mount berlatih sepanjang minggu bersama kami," katanya.

Lisandro Martinez, Anthony Martial, Luke Shaw dan Tyrell Malacia kekal diketepikan, manakala United mengesahkan Jonny Evans berjaya mengatasi masalah kecederaan pasukan dalam beberapa perlawanan terakhir.

Kekalahan pada hari Ahad akan meningkatkan tekanan ke atas Ten Hag apabila spekulasi memuncak mengenai masa depannya di Old Trafford.

Pengendali kelahiran Belanda itu berkata, pemainnya harus mengambil keyakinan daripada prestasi baik mereka walaupun berdepan tugas berat menentang Liverpool.

“Kini kami perlu mengambil momentum. Mereka mempunyai kepercayaan, keyakinan yang baik dan semangat dalam pasukan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!