SMK Meru, SMK Syed Mashor berentap suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15

Pemain, jurulatih dan pengurusan SMK Meru sebelum perlawanan menentang SMK Sungai Kapar Indah, dalam aksi Pusingan 16 Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023 pada Isnin.
Pemain, jurulatih dan pengurusan SMK Meru sebelum perlawanan menentang SMK Sungai Kapar Indah, dalam aksi Pusingan 16 Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023 pada Isnin.
A
A
A

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Meru meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Bolasepak Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) 2023 selepas menjinakkan SMK Sungai Kapar Indah, 1-0 pada Isnin.

Dalam aksi Pusingan 16 Terbaik di padang JSA Arena Setia Alam itu, jaringan Muhammad Amirul Haziq Hairul Azmi pada minit ke-45 sudah cukup membolehkan pasukan dari Klang tersebut mengesahkan slot lapan terbaik kejohanan.

Menanti anak buah Mat Hassan Mat Rofi di suku akhir adalah SMK Syed Mashor yang menyingkirkan cabaran SMK Seksyen 11, U14, 2-0 di Batang Kali.

“Alhamdulillah, syukur, biarpun hanya satu gol, kemenangan ini berjaya membawa pasukan SMK Meru ke suku akhir.

“Kita menguasai permainan dan cipta banyak peluang namun gagal disempurnakan barisan hadapan.

Kesebelasan utama SMK Meru.
Kesebelasan utama SMK Meru.

“Jentera serangan kita agak tumpul apabila mensia-siakan deretan peluang dalam perlawanan ini,” kata Mat Hassan kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebagai rekod, SMK Meru mara ke pentas 16 terbaik dengan status juara kumpulan H - menang semua perlawanan - skor tiga gol, bolos satu sebelum menyingkirkan cabaran SMK Sungai Kapar.

Artikel Berkaitan:

Ditanya persiapan berdepan SMK Syed Mashor, Mat Hassan berkata, “Kita akan perbaiki ketumpulan bahagian penyudah, selain mengukuhkan lagi bahagian benteng.

“SMK Syed Mashor sebuah pasukan yang bukan biasa-biasa apatah lagi selepas menyingkirkan cabaran pasukan SMK Seksyen 11 yang juga Sekolah Sukan Negeri Bawah 14 Tahun.

“Jadi saya berharap pemain-pemain SMK Meru akan memanfaatkan setiap peluang yang dicipta ketika berdepan SMK Syed Mashor dalam bentuk jaringan.”

Saingan suku akhir dijadualkan pada 29 November, separuh akhir pada 1 Disember dan perlawanan akhir pada 4 Disember di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Penganjur masih mengekalkan format Piala Juara-Juara Sekolah dari Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan-Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Selangor.

Kejohanan mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.

> PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-15 2023

PUSINGAN 16 TERBAIK

KEPUTUSAN

SMK Shah Alam 4-0 SMK Seksyen 7

SMK Bukit Sentosa (1) 1 - 1 (3) SMK Saujana Utama

SMK Telok Panglima Garang 1 - 2 MRSM Sungai Besar

SMK Darul Ehsan (9) 1 - 1 (8) SMK Dato’ Harun

SMK Tengku Ampuan Jemaah (8) 0 - 0 (9) SMK Sultan Abdul Samad

SMK Bandar Saujana Putra (3) 1 - 1 (4) SMK USJ 4

SMK Syed Mashor 2 - 0 SMK Seksyen 11, U14

SMK Meru 1- 0 SMK Sungai Kapar Indah

*Keputusan dalam kurungan penentuan sepakan penalti

> PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-15 2023

SUKU AKHIR

RABU (29 NOVEMBER)

SMK Shah Alam, Shah Alam lwn SMK Saujana Utama, Kuala Selangor

MRSM Sungai Besar, Sungai Besar lwn SMK Darul Ehsan, Batu Caves

SMK Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya lwn SMK USJ 4, Subang Jaya

SMK Syed Mashor, Batang Kali, lwn SMK Meru, Klang

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!