Terbuka Hong Kong: Jun Hao sekali lagi terkeluar awal, Soon Huat-Shevon mara

Leong Jun Hao
Leong Jun Hao
A
A
A

PRESTASI mengecewakan pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao berterusan apabila beliau sekali lagi tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong 2026, selepas tewas kepada pemain China, Dong Tian Yao, di Kai Tak Arena pada Rabu.

Pemain pada kedudukan ke-31 dunia itu tewas 12-21, 13-21 dalam masa 34 minit sekali gus mencatatkan kekalahan pusingan pertama beliau yang ke-10 musim ini.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett, dengan keputusan 21-17, 21-14 dalam masa 29 minit.

Turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua beregu campuran adalah satu lagi wakil Malaysia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, yang mengatasi gandingan India, Hariharan Amsakarunan-Tanisha Crasto, 28-26, 21-14 dalam tempoh 39 minit.

Bagaimanapun, Chen Tang Jie-Chan Wen Tse, gagal mara apabila tewas 14-21, 16-21 kepada pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Jhenicha Sudjaipraparat, dalam perlawanan yang berlangsung 30 minit.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain kebangsaan K Letshanaa turut tersingkir pada pusingan pertama selepas tewas 15-21, 12-21 kepada pemain pilihan keenam dari Indonesia, Putri Kusuma Wardani.

Beberapa pemain kebangsaan lain dijadualkan beraksi hari ini dalam usaha menempah tempat ke pusingan kedua kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bertaraf Super 500 itu. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!