The Monsoon mara ke suku akhir Piala Emas SSL

The Monsoon meraikan kejayaan mara ke suku akhir. - Foto SSL Team Malaysia
The Monsoon meraikan kejayaan mara ke suku akhir. - Foto SSL Team Malaysia
A
A
A

PASUKAN SSL Team Malaysia bergelar The Monsoon mara ke suku akhir Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Gran Canaria selepas menduduki tangga teratas Fleet 1 pada pusingan penyingkiran keempat.

Dengan kelajuan angin dan persekitaran hampir sempurna di lautan Atlantik, pasukan keelboat kebangsaan melakukan kejutan lagi apabila muncul juara Fleet 1 pada pusingan penyingkiran 1/8, sekali gus mengetepikan Amerika Syarikat (di tangga keempat dunia dalam ranking SSL) dan Argentina (ke-20) dalam kejohanan yang dilihat sebagai Piala Dunia sukan pelayaran.

Dalam saingan penyingkiran 1/4 bermula Isnin, Malaysia yang menduduki ranking ke-58 dunia, akan beradu tenaga dengan Great Britain (kedua), Perancis (enam) dan Denmark (ketujuh) dalam Fleet 1.

Fleet 2 menampilkan Jerman, Belanda, Chile dan Hungary, manakala Brazil, Portugal, New Zealand dan Australia membentuk Fleet 3. Fleet 4 dianggotai Switzerland, Lithuania, Itali dan Sepanyol.

Dua pasukan teratas dalam setiap fleet akan mara ke saingan separuh akhir yang ditandingi oleh lapan pasukan dibahagikan kepada dua fleet. Final akan mengumpulkan empat pasukan terbaik dalam satu fleet.

“Mara sejauh ini adalah di luar jangkaan kami,” kata ketua pasukan, Megat Danial Megat Najmuddin.

“Kami menepati matlamat untuk menduduki 20 tangga teratas dengan membuat kejutan ke atas beberapa negara yang berada di ranking dunia lebih tinggi.

“Kami mengharapkan sokongan seluruh peminat sukan negara kerana saingan setinggi gunung menunggu kami di suku akhir.”

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Malaysia melepasi pusingan penyingkiran pertama 1/32 dengan menduduki tangga teratas menewaskan Bermuda, Antigua and Barbuda dan Ukraine dalam Fleet 3. Seterusnya Malaysia menduduki tangga kedua di belakang Chile pada pusingan penyingkiran kedua 1/16.

Pada pusingan penyingkiran ketiga 1/8, The Monsoon menjuarai Fleet 1 dengan mengumpul lapan mata, diikuti Hungary.

Amerika Syarikat dan Argentina tersingkir selepas masing-masing menduduki tangga ketiga dan keempat.

Dalam saingan terbaharu, The Monsoon dianggotai Khairulnizam Mohd Affendy di kemudi, dibantu Nur Shazrin Mohamad Latif sebagai juru taktik, selain Ahmad Faizul Aswad Mohamed (Grinder) dan Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri (Trimmer).

Turut serta Ahmad Khairulhafiz Mohd Khmbali, (Offside Trimmer), Mohd Azhar Sadon Zubir (Pitman), Uzair Amin Mohd Yusof (Mainsail Trimmer), Mohd Akiyuddin Mat Zaki (Floater) dan Mohd Saifullah Mohd Esa (Bowman).

Dua pelayar simpanan ialah Mohd Amsyar Syahmi Mohd Ajwi (Spare Trimmer) dan Rizal Mahadi Sazili (Spare Floater).

Diketuai dua pelayar Olimpik, Khairulnizam dan Nur Shazrin yang cekap berkomunikasi di bahagian belakang bot, tujuh pelayar lain yang memiliki pengalaman antarabangsa mempamerkan aksi cemerlang.

Grinder Aswad, pegawai di Jabatan Kebajikan di Kuantan dan Ahmad Hakhimi, pegawai Kementerian Belia dan Sukan, memiliki pengalaman di pentas World Match Racing Tour (WMRT), manakala Akiyuddin, Uzair and Ahmad Syukri Abdul Aziz yang terpaksa pulang untuk menemani isteri yang bakal bersalin, pernah beraksi di peringkat Sukan SEA dan Sukan Asia.

Mereka turut diperkuatkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Akiyuddin, Azhar dan Amsyar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!