Mohamad Norza harap MSN, KBS pastikan kebajikan Muhammad Hafizuddin terbela

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap kebajikan atlet angkat berat negara Muhammad Hafizuddin Roslin mendapat perhatian sewajarnya daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak berkaitan susulan kemalangan jalan raya yang menimpanya.
Beliau berkata insiden yang menyebabkan atlet berusia 22 tahun itu kehilangan tangan kanan selepas menjalani pembedahan amat mendukacitakan selain berharap Hafizuddin dan keluarganya diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan berkenaan.
"Sebagai Presiden MOM, saya berharap keluarga Hafizuddin terus tabah menghadapi dugaan yang amat sukar ini. Saya yakin MSN, Menteri Belia dan Sukan serta pihak lain akan memastikan kebajikannya terus terbela.
"Penting untuk kita menjaga kebajikan atlet, khususnya mereka yang telah banyak menyumbang kepada negara," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah Ikon Sukan Terbaik pada Anugerah SEBA ASEAN Elite Edition 2025/2026 di sini pada Selasa.
Mohamad Norza turut berharap Hafizuddin yang merupakan antara prospek terbaik negara dalam sukan angkat berat, dapat menjalani proses pemulihan dengan baik.
Sebelum ini, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat memaklumkan bahawa Hafizuddin menjalani pembedahan selama tujuh jam pada Selasa namun doktor terpaksa memotong tangan kanannya bagi menyelamatkan nyawa atlet itu.
MSN sebelum ini turut memaklumkan bahawa Hafizuddin mengalami kecederaan serius pada kaki dan kepala selain komplikasi hematoma iaitu pengumpulan darah, di bahu kanan.
Anak kelahiran Perlis itu merupakan antara bakat muda terbaik negara dalam sukan angkat berat dan mempamerkan prestasi cemerlang sejak dua musim lepas.
Beliau turut mencipta kejutan apabila meraih pingat emas kategori 88 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, Julai lepas, dalam penampilan sulungnya pada temasya berkenaan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
