PM Anwar bertemu eksekutif tertinggi Nexperia di Hamburg

Anwar mengadakan pertemuan dengan syarikat Belanda Nexperia yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Xuezheng Zhang di sini, pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar mengadakan pertemuan dengan syarikat Belanda Nexperia yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Xuezheng Zhang di sini, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

HAMBURG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertemu dengan para pegawai eksekutif tertinggi syarikat semikonduktor berpangkalan di Belanda, Nexperia BV, termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Xuezheng Zhang di bandar pelabuhan utama Jerman ini.

Para eksekutif lain ialah Ketua Pegawai Kewangan dan Pengarah Urusan Nexperia Germany, Stefan Tilger; Ketua Pegawai Operasi, Achim Kempe; Ketua Hal Ehwal Korporat, Jean-Pierre Kempeneers dan Pengarah Kanan, Ketua Advokasi dan Perikatan, Hannes Van Raemdonck.

Turut hadir semasa pertemuan yang berlangsung selama 50 minit itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Nexperia BV memiliki anak syarikat milik penuh di Malaysia, Nexperia Malaysia Sdn Bhd, yang mengembangkan operasi dengan kilang terbaharunya di Seremban, Negeri Sembilan.

Semasa majlis pecah tanah pada 2021, dilaporkan bahawa menjelang 2026, Nexperia Malaysia merancang untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM1.6 bilion bagi bangunan, peralatan dan automasi di Malaysia.

Nexperia merupakan antara pemain terkemuka dalam pengeluaran semikonduktor dan komponen penting yang digunakan dalam pelbagai reka bentuk elektronik.

Antara produk utamanya termasuklah diod, transistor, dan peranti perlindungan nyahcas elektrostatik (ESD) serta litar bersepadu analog dan logik.

Anwar tiba di Berlin, Jerman, pada 10 Mac lepas bagi lawatan rasmi selama enam hari ke ekonomi ketiga terbesar dunia itu.

Artikel Berkaitan:

Semasa berada di Berlin, Anwar mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Jerman, Canselor Olaf Scholz selain melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Frank-Walter Steinmeier.

Perdana Menteri juga melawat kilang Siemens Energy di Huttenstrabe sebelum bertemu dengan lebih 35 pemimpin industri dan pelabur berpotensi dari Eropah pada mesyuarat meja bulat perniagaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!