Fahami konsep kesembuhan berteraskan al-Quran, sunnah

PUTRAJAYA – Masyarakat perlu memahami konsep kesembuhan berteraskan al-Quran dan sunnah bagi mengelakkan kekeliruan dalam memilih kaedah rawatan moden mahupun alternatif.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail berkata, kefahaman yang tepat mengenai panduan Nabi SAW penting supaya usaha mendapatkan kesembuhan tidak hanya bergantung kepada produk atau kaedah rawatan tertentu tanpa memahami kesesuaiannya dengan keadaan pesakit.
Menurutnya, Konvensyen My #HadithTime 2026 bertemakan Prophetic Wellness: Who Heals You? dianjurkan bagi membincangkan konsep kesihatan dan kesembuhan berdasarkan panduan al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW.
“Kita ingin kembali kepada panduan daripada Nabi bagaimana untuk memahami tentang konsep kesembuhan sebenarnya, dan juga apakah usaha yang perlu dilaksanakan,” katanya.
Ujar beliau, isu kesihatan dalam masyarakat turut memperlihatkan perbezaan pandangan antara perubatan moden dengan alternatif, selain kecenderungan sesetengah pihak mendapatkan pelbagai produk yang tidak semestinya membantu keadaan kesihatan mereka.
Sehubungan itu, katanya, konvensyen tersebut akan mengetengahkan kerangka panduan hadis Rasulullah SAW yang berteraskan al-Quran bagi membantu masyarakat memahami ikhtiar mendapatkan rawatan dengan lebih menyeluruh.
Konvensyen My #HadithTime 2026 merupakan penganjuran sulung oleh Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2026.
Program itu akan berlangsung pada Ahad, 6 Disember 2026, dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang di Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam.
Antara penceramah yang dijadualkan terlibat ialah pakar perubatan dan herba, Dr Agus Rahmadi; Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); serta pakar dalam bidang psikologi dan kesihatan
Dalam pada itu, Fazrul juga menegaskan, antara perkara penting yang perlu difahami ialah usaha mendapatkan rawatan, termasuk berjumpa doktor dan mengambil ubat, perlu dilakukan dengan kefahaman akidah tauhid yang betul.
“Usaha kita mendapatkan ubat, berjumpa doktor, itu penting. Dalam masa yang sama kita kena ingat punca penyelesaian itu adalah daripada ALLAH SWT,” katanya.
Beliau juga memberikan contoh tanggapan bahawa pengambilan madu pasti menyembuhkan penyakit, sedangkan pesakit diabetes perlu memahami pantang larang dan kesesuaian pengambilan makanan berdasarkan keadaan kesihatan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

