Elak pencemaran, segerakan pemutihan kilang berhampiran sungai

Orang ramai gesa kerajaan negeri segerakan tindakan pemutihan kilang berhampiran sungai susulan operasinya beri kesan pencemaran yang boleh mudaratkan kesihatan. Gambar hiasan
Orang ramai gesa kerajaan negeri segerakan tindakan pemutihan kilang berhampiran sungai susulan operasinya beri kesan pencemaran yang boleh mudaratkan kesihatan. Gambar hiasan
A
A
A

DENGKIL - Orang ramai menggesa kerajaan negeri menyegerakan tindakan pemutihan kilang berhampiran sungai susulan operasinya memberikan kesan pencemaran yang boleh memudaratkan kesihatan.

Seorang pemandu jentera, Abdul Naziron Salehuddin, 47, berkata, isu pencemaran sungai bukan isu baharu namun sehingga kini gagal ditangani dengan berkesan disebabkan kelemahan penguatkuasaan.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil melalui operasi pemutihan terhadap kilang haram serta yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kebanyakan kilang tidak patuh SOP dan jika ada pun sekadar untuk menutup mata penguat kuasa dan kemudian lepas tangan selepas pemeriksaan.

"Ini kerana pematuhan SOP dan penyelenggaraan melibatkan kos tinggi, jadi mereka ambil cara mudah membuang sisa buangan terus ke sungai atau menjual minyak terpakai kepada yang berminat," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian mengenai 11 sungai termasuk Sungai Langat dan Sungai Klang berpotensi menjadi punca kanser disebabkan mempunyai bahan kimia paling berbahaya iaitu kimia cap jari dan benzo (a) pirena dalam minyak hitam.

Benzo (a) pirena boleh terkumpul dalam tisu hidupan air seperti ikan, kerang dan udang yang boleh menebabkan kanser, gangguan hormon serta mengubah DNA manusia jika termakan.

Kajian mendapati, punca utama pencemaran sungai adalah disebabkan industri di sekitar sungai seperti pembaikan jentera yang melepaskan minyak hitam tanpa rawatan lalu mencemar alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Abdul Naziron menggesa, tiada kelonggaran diberikan terhadap kilang beroperasi berhampiran atau di atas rizab sungai.

"Tempatkan mereka di lokasi industri yang jauh dari sumber air dan kawasan perumahan bagi mengelak kacau ganggu dan keselamatan.

"Langkah itu juga dapat menghindari aktiviti pelepasan efluen terus ke sungai," katanya.

Seorang peniaga, Mohd Yusni Othman, 53, berkata, kajian risiko kanser itu tidak boleh dipandang ringan dan perlu diambil langkah segera kerana melibatkan kesihatan pengguna.

"Saya jadi takut pula apabila tahu tahap pencemaran di sungai terlibat boleh membawa kanser kerana saya sendiri merupakan salah seorang kaki pancing sekitar Sungai Langat.

"Lepas tahu risiko ini, saya jadi tidak berani makan hasil tangkapan.

"Biasanya memancing sekadar hobi tapi semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu memancing untuk sara hidup.

"Harap langkah segera dapat diambil jika pencemaran boleh memudaratkan kesihatan pengguna," katanya.

Seorang peniaga, Abdul Aziz Mohd Yusof, 38, meminta aspek kawalan perairan sungai ditingkatkan bagi mengelak aktiviti salah guna yang boleh menyebabkan pencemaran.

"Kita kerap kali kali dengar sungai tercemar yang ada kadangkala sampai melibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

"Sekarang pula ada kajian mengatakan pencemaran sungai boleh menjadi penyebab kepada kanser.

"Sudah masa tindakan tegas dilakukan, " katanya.

Beliau yang juga seorang kaki pancing turut mengakui kesukaran mendapatkan tangkapan ikan yang berkemungkinan disebabkan isu pencemaran.

"Dulu kaki pancing senang dapat ikan tapi sekarang semakin susah nak dapat hasil termasuk udang galah.

"Banyak ikan juga semakin pupus antaranya haruan kutu dan baung yang kini semakin susah untuk didapati," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28