Tindakan tegas ke atas pemilik kilang buang sisa ke sungai - Exco

Sungai Panchor berada dalam kelas tiga iaitu memerlukan rawatan tambahan jika dijadikan air minuman.
Sungai Panchor berada dalam kelas tiga iaitu memerlukan rawatan tambahan jika dijadikan air minuman.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) digesa mengambil tindakan tegas jika benar terdapat pemilik-pemilik kilang yang didapati membuang sisa-sisa bahan kimia berbahaya ke sungai-sungai di negeri ini hingga mengundang risiko penyakit kanser.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, Sungai Alor B di Sungai Pancor yang direkodkan tercemar berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling (EQR) 2022 oleh JAS terletak di kawasan kilang perindustrtian Pengkalan Chepa, di sini.

Menurut laporan itu, Indeks Kualiti Air (IKA) sungai terbabit ialah 59 dan termasuk dalam kelas tiga iaitu memerlukan rawatan tambahan jika dijadikan air minuman.

“Melepaskan sisa buangan ke sungai menyalahi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh didenda sehingga RM500,000.

“Perkara ini perlu dibendung segera kerana pembuangan sisa ke sungai kecil itu dikhuatiri akan membawa sisa buangan kilang ke saliran sungai utama seterusnya dibimbangi mencemarkan Sungai Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut Hilmi berkata, kerajaan negeri juga melaksanakan gotong-royong dan kempen kesedaran secara berkala dalam memastikan tahap kebersihan sungai di Kelantan terjaga.

Kerja-kerja dilakukan melalui anak syarikat kerajaan negeri, Kelantan Utilities Mubarakan Holdings Sdn Bhd setiap tiga bulan selain kerjasama beberapa institusi awam dan swasta di negeri ini antaranya Universiti Malaysia Kelantan, Kolej Kosmopoint, UiTM yang bergerak bersama badan bukan kerajaan (NGO) Wira Sungai Malaysia.

“Kami berkerjasama dengan semua pihak terutama penuntut universiti untuk membersihkan kawasan sungai-sungai kecil yang ada di Kelantan dan memberi pendidikan kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Kelantan tidak memandang ringan isu pencemaran sungai ini kerana sumber Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut diambil dari sungai-sungai di Kelantan,” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian dalam laporan khas mendedahkan 11 sungai yang terkenal dalam kalangan kaki pancing dikesan mengandungi bahan kimia paling berbahaya iaitu kimia cap jari dan benzo(a) pirena daripada minyak hitam yang boleh memberi risiko penyakit kanser jika terdedah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28