Kadar baharu cukai perkhidmatan: Peniaga berperanan tentukan harga

Pemerhatian Bernama di beberapa buah pasar raya serta bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang mendapati ada peningkatan harga namun tidak melibatkan semua jenis barang.Gambar hiasan
Pemerhatian Bernama di beberapa buah pasar raya serta bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang mendapati ada peningkatan harga namun tidak melibatkan semua jenis barang.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pada 1 Mac lepas, kadar baharu Cukai Perkhidmatan yang dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus dikuatkuasakan, mencetuskan polemik bahawa akan berlaku peningkatan harga barang secara mendadak.

Lebih-lebih lagi pelaksanaan kadar baharu tersebut begitu hampir dengan permulaan sesi persekolahan 2024/2025 dan bulan Ramadan, biarpun Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kadar baharu itu tidak membabitkan barangan keperluan asas seperti makanan serta perkhidmatan tertentu termasuk telekomunikasi.

Dua minggu berlalu, pemerhatian Bernama di beberapa buah pasar raya serta bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang mendapati ada peningkatan harga namun tidak melibatkan semua jenis barang.

Menurut pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Dr Nur Hafizah Mohammad Ismail, kenaikan yang berlaku adalah disebabkan oleh kadar baharu tersebut turut meliputi perkhidmatan logistik yang merupakan nadi rantaian bekalan.

"Bagaimanapun kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini bergantung pada peniaga... bagaimana mereka mahu menyalurkan kos (logistik akibat kenaikan kadar cukai sebanyak dua peratus itu) kepada pengguna," jelasnya kepada Bernama.

Dalam bahasa mudah, peniaga berperanan menentukan setinggi mana harga mahu dinaikkan atau sebesar mana margin keuntungan yang ingin diperoleh.

Lain kedai lain harga

Semakan Bernama mendapati ada kebenaran pada aspek itu.

Artikel Berkaitan:

Misalnya, peniaga martabak di sebuah bazar Ramadan di Gombak, Selangor, Rosli Ali masih mengekalkan harga martabak yang dijualnya pada RM5 sekeping berbanding peniaga lain yang menaikkan harga hingga RM7.

Kata Rosli, 56, meskipun harga barang mentah meningkat, dia tidak berhasrat menaikkan harga martabaknya demi memastikan gerainya terus menjadi pilihan pelanggan.

"Kita tidak nafikan dengan kenaikan kos barang, ditambah cukai lagi, bagi saya bukan sahaja peniaga, pelanggan juga terkesan. Apapun peniaga dan pelanggan, masing-masing ada pilihan.

"Peniaga boleh pilih nak naikkan harga atau tidak, manakala pelanggan boleh pilih nak cari barang yang ikut situasi poket mereka. Macam saya, lebih kepada nak jaga pelanggan tetap, jadi untung sedikit pun bagi saya dah cukup,'' katanya yang menjual martabak daging dan ayam di bazar itu sejak 2022.

Seorang pengunjung bazar yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 45, berkata, dia mendapati kebanyakan harga juadah yang dijual di bazar itu masih sama seperti tahun sudah.

"Misalnya makanan bergoreng seperti mi, masih lagi dijual pada harga biasa iaitu RM5 sebungkus, tetapi untuk nasi berlauk atau nasi campur mungkin agak mahal sedikit, bergantung pada lauk yang kita ambil... ada nasi tomato yang dijual RM7, ada yang jual mahal sedikit hingga RM10.

"Sebenarnya, peningkatan harga ini berlaku sebelum peningkatan kadar Cukai Perkhidmatan lagi. Kita boleh tengok beberapa bulan sebelum ini harga barang mentah meningkat. Jadi, apabila kadar dinaikkan, maka kita sedia maklum akan berlaku peningkatan harga, cuma kita sebagai pengguna kena bijak berbelanja," kata kakitangan sektor perbankan itu.

Kunjungan Bernama ke sebuah lagi bazar Ramadan di Gombak juga mendapati harga juadah yang dijual tidak banyak berbeza dengan tahun lepas.

Masakan panas seperti mi dan kuetiau goreng, nasi ayam serta nasi goreng masih dijual pada harga RM4 hingga RM5, sementara air balang pelbagai perisa pula berharga RM5 sebungkus.

Semakan di pasar raya pula mendapati, walaupun umumnya harga barangan basah tidak banyak berubah, ada barang-barang tertentu yang merekodkan peningkatan ketara harga seperti ayam segar dan bawang merah yang diimport.

Kukuh kewangan negara

Sepintas lalu, Cukai Perkhidmatan adalah cukai peringkat tunggal yang hanya dicaj secara seperingkat oleh pembekal perkhidmatan. Sistem percukaian ini dilaksanakan kembali bersama-sama Cukai Jualan oleh kerajaan pada 2018 selepas memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar enam peratus yang berkuat kuasa sejak April 2015.

Berbeza dengan sistem percukaian jualan dan perkhidmatan, GST merupakan cukai penggunaan yang dikenakan pada setiap peringkat rantaian pembekalan.

Kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus diumumkan oleh Anwar pada pembentangan Belanjawan 2024 tahun lepas, dengan Kementerian Kewangan mengunjurkan tambahan pendapatan sebanyak RM3 bilion kepada negara, hasil kenaikan dua peratus itu.

Mengulas tentang langkah kerajaan itu, Nur Hafizah berkata, kenaikan dua peratus tersebut dapat membantu meningkatkan aliran tunai kerajaan dan mengurangkan kebergantungan pada sumber pendapatan lain yang mungkin tidak stabil.

"Selain itu, strategi ini juga berupaya membantu kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan tanpa meningkatkan pinjaman mahupun hutang," katanya.

Jelas beliau, perbelanjaan pembangunan penting bagi melaksanakan agenda sosioekonomi negara, termasuk menambah baik kualiti perkhidmatan seperti sistem penjagaan kesihatan, pengangkutan dan perhubungan, sistem telekomunikasi, pendidikan serta program kebajikan sosial yang dapat membantu rakyat secara langsung.

"Pertambahan hasil memungkinkan kerajaan memberikan lebih banyak bantuan kewangan dan subsidi bersasar kepada rakyat bagi menangani ketidaksamaan ekonomi, sekali gus mengurangkan beban rakyat," jelasnya.

Senada, penganalisis ekonomi daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid melihat peningkatan kadar cukai sebanyak dua peratus itu adalah rasional.

"Peningkatan (kadar) Cukai Perkhidmatan diperlukan bagi mengurangkan hutang semasa kerajaan.

"Dalam proses mengurangkan defisit kerajaan (akibat beban hutang), maka kenaikan cukai terpaksa dibuat dengan kesan yang sangat minimum kepada rakyat. Rekod menunjukkan hutang negara melebihi AS$255.4 bilion (RM1.22 trilion) pada akhir Disember lepas," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, kerajaan juga sedar kenaikan kadar cukai itu akan memberi kesan kepada rakyat, namun ia berusaha mengecilkan impak berkenaan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk meneruskan pemberian bantuan tunai.

"Ketika ekonomi negara terkesan dek penularan Covud-19, kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat, dan hingga ke hari ini bantuan terbabit masih lagi diteruskan demi merancakkan ekonomi domestik," jelas beliau.

Antara bantuan tunai yang terus diberikan oleh Kerajaan Madani ialah Sumbangan Tunai Rahmah yang disalurkan kepada isi rumah B40, Bantuan Awal Persekolahan, dan terbaharu, bantuan khas penjawat awam sebanyak RM2,000 yang diberikan pada Februari lepas, bagi meringankan beban rakyat dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Bersetuju bahawa kerajaan berusaha mengecilkan impak kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan itu kepada rakyat, Nur Hafizah berkata, pada masa sama pengguna juga perlu memainkan peranan dengan mengawal perbelanjaan, bergantung pada pendapatan masing-masing.

"Tidak dapat disangkal, kenaikan kadar cukai itu akan membawa impak kepada pengguna termasuk menurunkan kuasa beli mereka ekoran inflasi. Justeru, di sinilah mereka perlu berbelanja secara bijak," ujar beliau.

Pantau proses kutipan cukai

Dalam pada itu, Nur Hafizah berpandangan kerajaan perlu sentiasa memantau proses kutipan cukai bagi membendung kegiatan penyelewengan dan ketirisan sehingga mengakibatkan kerugian kepada negara.

Beliau berkata, syarikat dan pihak industri yang culas membayar cukai berkenaan perlu dipastikan mematuhi kewajipan melunaskan cukai.

"Penguatkuasaan undang-undang yang berkesan serta pengauditan berkaitan cukai ini perlu diperkasakan supaya tidak memberi implikasi kewangan kepada negara.

"Ini kerana tahap pematuhan dan mekanisme penguatkuasaan adalah faktor penting yang akan membantu merealisasikan matlamat kerajaan untuk menambah hasil cukai sebanyak RM3 bilion melalui kadar baharu Cukai Perkhidmatan yang telah dikuatkuasakan itu,'' katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28