Bazar Ramadan dan kesan SST

Peniaga tidak wajar mengambil kesempatan dengan isu kenaikan SST kerana kerajaan telah memberikan pelbagai bentuk subsidi semua peringkat masyarakat dalam membantu menangani kos sara hidup yang tidak menentu disebabkan ekonomi global. Gambar fail Bernama
Peniaga tidak wajar mengambil kesempatan dengan isu kenaikan SST kerana kerajaan telah memberikan pelbagai bentuk subsidi semua peringkat masyarakat dalam membantu menangani kos sara hidup yang tidak menentu disebabkan ekonomi global. Gambar fail Bernama
A
A
A

PEJAM celik, minggu depan umat Islam bakal menunaikan Rukun Islam keempat dengan berpuasa di bulan Ramadan.

Pastinya bulan yang penuh keberkatan ini memberi peluang buat umatnya untuk memperbaiki dan mendekatkan diri dengan pencipta selain mendapatkan pahala berlipat ganda.

Begitu pun, apa yang penulis ingin utarakan di sini adalah kemeriahan bazar Ramadan yang kunjung tiba setiap tahun tanpa gagal waima ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sekali pun tiga tahun lalu, namun ia masih tetap beroperasi meskipun terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Jika tahun lalu, ramai pelanggan merungut apabila harga juadah di bazar Ramadan dikatakan terlalu tinggi umpama ‘nak pergi haji balik hari’ dek disebabkan kos bahan mentah yang sememangnya mahal ketika itu.

Kini ramai percaya situasi hampir sama mungkin berulang disebabkan kesan rantaian susulan keputusan kerajaan menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6 kepada 8 peratus pada 1 Mac lalu.

Adakah harga juadah berbuka puasa di bazar Ramadan kali ini turut terkesan sebagaimana tahun lalu atau mungkin lebih tinggi walaupun kerajaan kerajaan berkali-kali mengingatkan bahawa kenaikan cukai SST itu tidak membabitkan perkhidmatan untuk makanan dan minuman?

Seperti yang dilaporkan media, peniaga makanan dan minuman termasuk peniaga bazar Ramadan telah diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati selepas kenaikan SST.

Melaka menjadi negeri pertama yang melaungkan amaran awal mengenai perkara itu apabila Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Penggunanya, Tuminah Kadi tampil memaklumkan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus mempertingkatkan pemantauan termasuk dengan berpakaian seperti orang awam bagi memudahkan operasi terhadap individu yang berdegil menaikkan harga melampau.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, peniaga tidak wajar ambil kesempatan dengan isu kenaikan SST kerana kerajaan telah memberikan pelbagai bentuk subsidi semua peringkat masyarakat dalam membantu menangani kos sara hidup yang tidak menentu disebabkan ekonomi global.

Malah Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali turut memberi jaminan pemantauan terhadap sektor yang tidak terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan seperti makanan dan minuman juga tidak terlepas menerusi Ops Kesan yang digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011.

Justeru, peniaga khususnya di bazar Ramadan perlu beringat, jika tidak tindakan tegas akan dikenakan sekiranya kenaikan harga yang melampau dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan.

Tidak cukup dengan itu, peniaga juga perlulah mematuhi aspek kesihatan yang telah digariskan pihak berwajib termasuklah memastikan kebersihan makanan, mengikuti kursus pengendali makanan dan mengambil suntikan pelalian tifoid agar tidak menimbulkan sebarang masalah yang tidak diingini.

Kita tidak mahu insiden keracunan makanan di Terengganu disebabkan puding buih tercemar membabitkan 99 kes dan satu kematian pada 2020 kembali berulang dan ia wajar dijadikan iktibar khususnya peniaga.

Apa pun suka penulis ingatkan sebagai pengguna kita seharusnya bijak memilih dan cuba mengawal ‘nafsu mata’ lebih-lebih lagi ketika berkunjung ke bazar Ramadan yang menyajikan 1,001 jenis aneka juadah ‘menggiurkan’.

Jadi tepuk dada, tanya selera dan pastikan isi dompet tidak tiris sehingga hujung bulan dek penangan bazar Ramadan kerana persiapan raya usah dilupakan.

Bagi orang ramai yang ingin merasai kemeriahan berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi boleh lah sertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf bermula 13 Mac.

* Zubir Sulaiman ialah Editor Pengisian Sinar Online

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!