Tangguh kenaikan SST sehingga ekonomi pulih

Laporan Sinar Harian (kiri), Muhammad Ismi
Laporan Sinar Harian (kiri), Muhammad Ismi
A
A
A

IPOH - Kerajaan disarankan untuk menangguhkan kadar baharu cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 8 peratus berikutan kejatuhan nilai ringgit ketika ini.

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, cadangan itu merupakan langkah segera yang perlu diambil untuk mengawal kadar inflasi sehingga ekonomi negara benar-benar pulih.

"Selaku salah seorang penggubal undang-undang, seluruh rakyat sudah pasti akan merasai peningkatan kos sara hidup dengan kenaikan kadar SST 8 peratus serta perluasan skop SST tersebut.

"Walaupun tidak semua perniagaan yang dikenakan kenaikan kadar SST tersebut, ia akan memberi kesan negatif kepada keseluruhan rantaian bekalan ekonomi negara.

"Kenaikan kadar SST ini akan memberi kesan segera kepada peningkatan kos perniagaan yang akhirnya akan disalurkan oleh peniaga kepada pengguna melalui harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

SST 8 peratus telah berkuat kuasa pada 1 Mac berbanding 6 peratus sebelum ini. Bagaimanapun kadar baharu itu tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak.

Selain itu, kata Muhammad Ismi, beliau juga membantah terhadap isu pemansuhan pencen bulanan bagi penjawat awam yang berstatus tetap.

"Bantahan tersebut adalah bagi meraikan sumbangan mereka selaku tulang belakang kepada perkhidmatan awam.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, beberapa isu dan permasalahan di Parlimen Parit telah disuarakan seperti keperluan Klinik Kesihatan Pekan Parit yang baharu dan status perkembangan cadangan pembinaan lapangan terbang berhampiran Felda Nasarudin dekat Bota," katanya.

Beliau berharap isu yang dibangkitkan itu dapat dijawab dengan lengkap oleh setiap Kementerian berkaitan pada sesi penggulungan Dewan Rakyat minggu depan.