JKNP keluar 52 notis kompaun kepada pengendali makanan bazar Ramadan

Razali (kanan) bersama Dr Rusdi meninjau operasi gerai sempena Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang 2024 di Bazar Ramadan Mahkota Square pada Khamis.
Razali (kanan) bersama Dr Rusdi meninjau operasi gerai sempena Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang 2024 di Bazar Ramadan Mahkota Square pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah mengeluarkan 52 notis kompaun bernilai RM5,950 kepada pengendali makanan bazar Ramadan di negeri ini sepanjang dua hari dibuka bermula Selasa lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Ir Razali Kassim berkata, notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 526 gerai di bazar Ramadan dalam tempoh itu dan daerah Pekan mencatatkan jumlah notis tertinggi dengan 27 notis.

“Antara kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 termasuk kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan.

"Turut dikesan kesalahan di bawah Peraturan 33 iaitu pengendali makanan memakai perhiasan diri seperti jam tangan, cincin dan gelang ketika mengendalikan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang 2024 di Bazar Ramadan Mahkota Square pada Khamis.

Razali (tengah) bersama Dr Rusdi (kiri) meninjau operasi gerai sempena Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang 2024 di Bazar Ramadan Mahkota Square pada Khamis.
Razali (tengah) bersama Dr Rusdi (kiri) meninjau operasi gerai sempena Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang 2024 di Bazar Ramadan Mahkota Square pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Dalam pada itu, Razali berkata, turut dikesan kesalahan di bawah Peraturan 30 iaitu pekerja gerai tidak menghadiri kursus pengendali makanan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 24 sampel makanan sedia dimakan iaitu makanan yang berisiko telah diambil dan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi yang keputusannya dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.

“Sampel makanan diambil secara rawak terutama bagi makanan berisiko seperti juadah bersantan, kerabu, kuih berkelapa dan air.

"JKNP turut memeriksa 17 kilang ais di negeri ini dan sebanyak 11 notis dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 membabitkan jumlah kompaun RM10,300," katanya.

Beliau berkata, dua premis diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta makanan 1983 kerana pemilik gagal memastikan premis berada dalam keadaan bersih.

"Orang ramai diminta melaporkan sebarang salah laku berkaitan pengendali makanan dan makanan yang dijual di negeri ini dengan mengimbas kod QR yang di sediakan di setiap bazar Ramadan di negeri ini," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28