'Tak sampai hati nak naik harga' - Peniaga kuih

Kuih topi antara yang dijual di gerai Nur Asmak.
Kuih topi antara yang dijual di gerai Nur Asmak.
A
A
A

KOTA BHARU - Perasaan prihatin dan tidak sampai hati untuk menaikkan harga juadah Ramadan kepada pelanggan menyebabkan seorang peniaga mengekalkan lebih 40 jenis harga kuih-muih yang dijualnya seperti tahun lalu.

Harga kuih yang dikekalkan itu termasuklah sepotong puding gula hangus RM3, dua biji sekaya RM3, tiga potong agar-agar RM2, onde-onde 15 biji RM3, tiga biji kuih topi RM2 dan enam biji popia sira RM5.

Peniaga itu, Nur Asmak Makhtar, 52, berkata, turut dikekalkan harga dan kuantiti yang sama dengan tahun lalu ialah kuih-muih tradisional seperti akok sebanyak lima biji dijual RM5, 20 biji kuih bunga tanjung juga RM5 dan enam keping mas jalan mas kekal RM10.

Nur Asmak
Nur Asmak

“Saya tidak sampai hati nak naikkan harga walaupun kos bahan mentah yang digunakan untuk membuat kuih seperti majerin, telur dan tepung mahal.

“Saya kekalkan harga kuih ini kerana ramai yang datang membeli di gerai saya adalah pelanggan tetap.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga akan bertanya sekiranya harga dinaikkan selain saya sendiri bersimpati terhadap orang ramai yang mahu menikmati kuih-muih ketika berbuka puasa,” katanya ketika ditemui di gerainya di bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Khamis.

Pelanggan yang membeli kuih-muih di gerai Nur Asmak.
Pelanggan yang membeli kuih-muih di gerai Nur Asmak.

Nur Asmak berkata, sebagai peniaga, dia mengakui terkesan apabila keuntungannya berkurangan, namun percaya dengan tidak menaikkan harga jualan tersebut juga salah satu ‘sedekah’ pada bulan Ramadan.

Dia juga perlu membayar gaji tiga pekerja yang diupah untuk membantunya membuat kuih-muih serta berniaga di bazar berkenaan.

“Saya juga bimbang kalau jual mahal takut nanti orang tak datang beli.

“Jual harga sama ini, Insyallah ramai yang beli dan kami juga dapat mencari pahala serta keberkatan dalam Ramadan,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28