Cuaca panas: 100 hektar sawah bergantung air bukit, hujan terjejas

Kira-kira 50 pesawah di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka berdepan masalah air di sawah berkurangan dan petak sawah menjadi kering akibat cuaca panas. (Gambar kecil: Abdul Rashid Yob)
Kira-kira 50 pesawah di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka berdepan masalah air di sawah berkurangan dan petak sawah menjadi kering akibat cuaca panas. (Gambar kecil: Abdul Rashid Yob)
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menerima aduan sebanyak 100 hektar kawasan sawah yang bergantung kepada sumber air hujan dan air bukit terjejas di beberapa negeri akibat cuaca panas.

Exconya, Abdul Rashid Yob berkata, aduan tersebut diterima dari kira-kira 50 pesawah di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka yang menyatakan cuaca panas yang sedang melanda sekarang ini menyebabkan air di sawah berkurangan dan petak sawah menjadi kering.

Menurutnya, walapun aduan tersebut tidak menjejaskan ramai pesawah, namun tetap memberikan kesan kepada bekalan padi negara jika keadaan tersebut berterusan.

“Tanaman mereka sudah berusia lebih dua bulan, namun terpaksa dibiarkan sahaja dalam petak sawah kering kerana pokok padi itu tidak mengeluarkan buah.

"Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian tinggi kerana sudah mengeluarkan modal untuk menanam padi," katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Abdul Rashid berkata lagi, badan bukan kerajaan itu berharap agar kerajaan dapat membantu pesawah yang terjejas selain memikirkan penyelesaian lain selepas fenomena El Nino kali ini diramal berlarutan lebih lama.

Menurutnya, cuaca panas akan menyebabkan sumber air semakin berkurangan dan lebih ramai pesawah akan terjejas sekali gus menyaksikan negara bakal kehilangan hasil negara pada musim seterusnya.

“Pesawah di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) juga turut mengalami masalah sumber air kerana ketiadaan sistem pengairan yang sistematik.

Artikel Berkaitan:

"Masalah seperti ini perlu dikawal dari awal lagi, agensi berkaitan perlu memainkan peranan secepat mungkin membantu pesawah yang terjejas sama ada melalui naik taraf kemudahan pengairan atau beri bantuan sewajarnya untuk pesawah agar mereka dapat bertahan,” ujar beliau.

Pada selasa, media melaporkan uaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius diramalkan di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh tujuh hari ke hadapan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan di Sarawak, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga pagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28