Apa masalahnya dengan kongres bincang ekonomi Melayu? - Wan Rosdy

Wan Rosdy (kiri) dan Lian Ker
Wan Rosdy (kiri) dan Lian Ker
A
A
A

KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menasihatkan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker agar tidak memercikkan api perkauman demi kepentingan politik sendiri.

Wan Rosdy berkata, sejarah telah membuktikan bahawa jika agenda Melayu dan kepentingan Melayu terkebelakang, maka kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara turut akan terjejas keseluruhannya.

Tegasnya, jika bangsa Melayu mundur, keadaan itu juga sudah tentu mempengaruhi situasi dalam negara.

"Kunci terhadap Malaysia yang lebih berpadu dan harmoni adalah orang Melayu harus kuat serta stabil baik dari sudut politik mahupun ekonomi.

"Jadi, apa masalah kalau ada kongres yang membincangkan soal ekonomi orang Melayu?

"Ini untuk kepentingan nasional dan nikmatnya akan turut dikongsi oleh kaum-kaum lain seperti yang dinikmati sekarang," katanya dalam satu kenyataan pada malam Ahad.

Sebelum ini, Lian Ker ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara meminta kerajaan tidak meneruskan Kongres Ekonomi Bumiputera pada Januari tahun hadapan sebaliknya menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat.

Ujar beliau, sudah tiba masa Kongres Ekonomi Bumiputera tidak lagi ditunggang bagi meraih keuntungan politik atau dijadikan sebagai platform pihak oportunis mengambil kesempatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia bukan langkah untuk menidakkan hak orang Melayu tetapi setelah lebih 50 tahun, negara masih lagi mengadakan majlis Kongres Ekonomi Bumiputera bersiri-siri yang gagal mencapai matlamat.

Sementara itu, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menjelaskan, paling mustahak tidak ada sebarang halangan untuk mana-mana kaum di negara ini untuk menganjurkan kongres seperti itu.

"Masyarakat Cina sebagai contoh, punyai banyak kongres dan perbincangan diadakan melalui pelbagai persatuan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) berasaskan ekonomi dan ia tidak langsung dijadikan isu.

"Malah saya sebagai Menteri Besar Pahang juga ada beri sumbangan khas kerajaan negeri kepada persatuan-persatuan ini," katanya.