Dua penyamun dicekup dalam tempoh 24 jam, seorang masih diburu

Anggota polis menggunakan anjing Unit K9 bagi mengesan dua suspek yang dipercayai menyamun di sebuah rumah di SS 15/7, Subang Jaya, Selangor pada Rabu. Foto Ihsan PDRM
Anggota polis menggunakan anjing Unit K9 bagi mengesan dua suspek yang dipercayai menyamun di sebuah rumah di SS 15/7, Subang Jaya, Selangor pada Rabu. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

SUBANG JAYA - Dua lelaki ditahan dalam tempoh 24 jam selepas memecah masuk dan menyamun penyewa rumah dalam kejadian di di SS 15/7, dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua suspek ditahan di kawasan Kundang Kampung Baru, Rawang, Selangor jam 6.30 petang.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 50 tahun yang bersenjatakan perengkuh paip telah bertindak menyamun penyewa rumah tersebut jam 11.50 pagi.

"Suspek telah pecah masuk rumah dan mengambil barangan berharga, namun kedua-duanya telah berjaya ditangkap dalam tempoh 24 jam dan pihak polis juga menemukan beberapa barang kes milik penghuni rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM15,000.

Kata beliau lagi, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai 18 rekod jenayah serta tujuh rekod dadah.

Keadaan rumah yang digeledah pencuri dalam satu kes samun di sebuah rumah di SS 15/7, Subang Jaya, Selangor pada Rabu. Foto ihsan PDRM
Keadaan rumah yang digeledah pencuri dalam satu kes samun di sebuah rumah di SS 15/7, Subang Jaya, Selangor pada Rabu. Foto ihsan PDRM

Menurutnya, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Shah Alam pada Khamis untuk proses siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (AKTA 574).

Tambahnya, siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi suspek warga tempatan yang masih bebas.

Sehubungan itu menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil memberi kerjasama kepada pihak polis.

Jelas beliau, orang ramai boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Afiq Safullah Azid di talian 014-5378217.

"Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," tegasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28